Thailand rekod 27,560 kes Covid-19 menjelang kelonggaran sekatan esok

Thailand melaporkan jumlah rekod jangkitan baharu Covid-19 pada Khamis (31 Mac), sehari sebelum peraturan kemasukan untuk pelancong asing ke negara itu ditetapkan berkuat kuasa, esok.

Kementerian Kesihatan Awam (PHM) mengesahkan 27,560 kes baharu dan 85 kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu. Jangkitan itu termasuk 61 kes import, kata PHM itu di laman webnya.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 di Thailand mencecah 3,628,347, dengan 3,356,447 daripadanya telah pulih, 246,770 masih di hospital dan 25,130 meninggal dunia.

Bermula Jumaat, pengembara asing tidak lagi perlu membawa sijil pra-perjalanan bebas Covid kerana negara Asia Tenggara yang bergantung kepada sektor pelancongan itu berusaha menarik lebih ramai pelancong bagi membantunya memulihkan semula ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak 2020 lalu.

Pelawat luar negara bagaimanapun, masih perlu menjalani ujian RT-PCR semasa ketibaan dan ujian antigen yang diurus sendiri pada hari kelima.

Peningkatan kes hari ini menyusul perayaan Songkran, sambutan tahun baharu Thai, mulai 13 April dengan pihak berkuasa memberi amaran supaya orang ramai berusaha mengelak perhimpunan besar-besaran dan acara percikan air tradisional.

Negara itu telah menyediakan pelan bagi mengklasifikasikan wabak Covid-19 sebagai endemik dalam beberapa bulan akan datang, tetapi kemajuan ke arah itu akan bergantung terlebih dahulu dalam mengawal wabak semasa, kata Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Data Worldometer, menunjukkan kes positif yang disahkan di seluruh dunia meningkat kepada 487.16 juta pada Khamis, 422.35 juta daripadanya telah pulih, 58.65 juta kes aktif (58,386 dalam keadaan kritikal) dan 6.16 juta pesakit meninggal dunia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR