Thailand rekod 25,298 kes baharu Covid-19 semalam

Kementerian Kesihatan Awam (MPH) Thailand melaporkan 25,298 jangkitan baharu positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 9 April 2022), dengan 78 daripadanya melibatkan kes import.

Jumlah kematian meningkat sebanyak 98 pesakit, manakala 22,003 pesakit telah sembuh dan dibenarkan meninggalkan hospital, lapor MPH.

Kumulatif positif di negara ini sejak 1 Januari 2022 ialah 1,634,911 kes.

Jumlah keseluruhan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 3,858,346, dengan 3,580,920 daripadanya telah pulih, 251,451 masih di hospital dan 25,975 meninggal dunia.

Secara berasingan, 42,463 orang lagi diberi suntikan Covid-19 pertama mereka dalam tempoh 24 jam terakhir, 40,877 suntikan kedua dan 118,343 suntikan penggalak, menjadikan jumlah dos vaksin Covid-19 yang diberikan di seluruh Thailand kepada 130,863,690.

Menurut Worldometer, kes yang disahkan di seluruh dunia melonjak kepada 497.85 juta pada Sabtu, dengan 433.42 juta daripadanya telah pulih, 58.23 juta adalah kes aktif, termasuk 54,327 dalam keadaan kritikal, dan 6.2 juta meninggal dunia.

Sementara itu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan lanjutan jangka hayat vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada sembilan bulan berkuat kuasa serta-merta, memastikan dos boleh disimpan dengan selamat lebih lama sebelum ia diberikan.

President AstraZeneca (Thailand) James Teague berkata ketika program penggalak dos ketiga dilaksanakan, AstraZeneca akan terus menyokong kerajaan dalam menyediakan dos vaksin untuk membantu melindungi orang ramai daripada Covid-19.

Kelulusan FDA Thailand untuk memanjangkan jangka hayat vaksin daripada enam bulan kepada sembilan bulan adalah berdasarkan kajian semula data yang meluas, menurut syarikat itu.

Teague berkata AstraZeneca dan rakan kongsi globalnya telah membekalkan lebih 2.8 bilion dos vaksin kepada lebih 180 negara, dan kira-kira dua pertiga daripada dos ini telah dihantar ke negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Vaksin itu dianggarkan telah membantu mencegah 50 juta kes Covid-19, lima juta dimasukkan ke hospital, dan telah membantu menyelamatkan lebih daripada satu juta nyawa.”

Bulan lalu, agensi berita melaporkan Indonesia juga memanjangkan jangka hayat AstraZeneca apabila hampir enam juta suntikan yang didermakan semakin hampir tarikh luputnya.

Langkah itu dibuat selepas negara miskin menolak lebih 100 juta dos vaksin Covid-19 yang diedarkan oleh COVAX pada Disember, terutamanya kerana tarikh tamat tempoh yang semakin hampir, kata seorang pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR