
Thailand mencatat 24,635 jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari 28 Mac 2022. - Gambar agensi
Dua negara jiran Malaysia – Thailand dan Singapura – masing-masing merekodkan 24,635 dan 4,925 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi (28 Mac 2022).
Kementerian Kesihatan Awam (PHM) Thailand melaporkan seramai 34 pesakit baharu Covid-19 hari ini adalah pengembara yang baharu tiba di negara itu semalam.
Pada masa sama PHM juga memaklumkan seramai 81 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian mencecah 24,880 kes.
Sejak awal 2020 lalu hingga hari ini Thailand mencatat 3,553,720 kumulatif kes positif, dengan 3,278,103 pesakit telah sembuh, dan 250,737 pesakit lagi masih dirawat di hospital.
Data daripada Worldometer, menunjukkan kes positif di seluruh dunia meningkat kepada 482.18 juta pada Isnin, dengan 416.6 juta daripadanya telah pulih, 59.43 juta kes aktif, termasuk 58,797 dalam keadaan kritikal, dan 6.15 juta telah meninggal dunia.
Sementara itu, Singapura pula merekodkan 4,925 jangkitan baharu, termasuk 4,813 merupakan penularan tempatan dan 112 kes import.
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura juga memaklumkan terdapat empat kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 1,254 kes.
Terdapat 717 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital dengan 92 daripadanya memerlukan bantuan oksigen, menurut data MOH hari ini.
Sehingga hari ini Singapura mencatat 1,076,930 kumulatif positif sejak wabak Covid-19 melanda awal 2020 lalu. – Agensi