Thailand rekod 22,387 kes baharu semalam, Indonesia 1,196 jangkitan

Kementerian Kesihatan Awam (MPH) Thailand melaporkan dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 11 April 2022) terdapat 22,387 pesakit baharu yang disahkan positif Covid-19, dengan 87 daripadanya adalah kes import.

Dalam tempoh itu, seramai 105 pesakit Covid-19 disahkan meninggal dunia, manakala 27,680 pesakit telah sembuh dan dibenarkan meninggalkan hospital.

Jumlah kumulatif positif di negara itu sejak 1 Januari 2022 ialah 1,682,437, lapor pasukan petugas Covid-19 MPH.

Keseluruhannya sejak awal 2020 hingga semalam, Thailand mencatat 3,905,872 kumulatif positif, sengan 3,634,109 pesakit telah pulih, 245,575 masih di hospital dan 26,188 meninggal dunia.

Thailand berada pada kedudukan ke 27 negara yang mencatat kes tertinggi dengan didahului Amerika Syarikat sebanyak 82.06 juta kes, diikuti India (43.04 kes); Brazil (30.15 kes); Perancis (26.95 kes); dan Jerman (22.68 kes).

Sementara itu, Indonesia – negara keempat paling padat penduduk di dunia – hanya mencatat 1,196 jangkitan baharu semalam serta 48 kematian akibat komplikasi Covid-19.

Sehingga semalam republik itu merekodkan lebih 6.033 juta kumulatif kes positif – kedua tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam – dengan 5,808,380 pesakit telah pulih, dan 155,674 kes kematian, tertinggi di ASEAN.

Dengan 69,849 kes masih aktif, seramai 3,513 suspek disyaki dijangkiti Covid-19 telah dikenal pasti, sementara sebanyak 129,600 spesimen telah diuji.

Wilayah yang mencatatkan kes disahkan harian tertinggi ialah Jawa Barat, dengan 340 kes. Di wilayah itu, 757 orang telah diisytiharkan pulih dan 10 orang meninggal dunia akibat Covid-19.

Menurut Worldometer, kes yang disahkan di seluruh dunia telah meningkat kepada 499.2 juta pada Isnin, dengan 448.76 juta daripadanya telah pulih, 44.24 juta kes aktif, termasuk 53,678 dalam keadaan kritikal, dan 6.2 juta meninggal dunia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR