Thailand rekod 19,982 jangkitan baharu, Singapura 4,552 kes

Kementerian Kesihatan Awam (MPH) Thailand melaporkan dalam tempoh 24 jam semalam (12 April), sebanyak 19,982 jangkitan baharu Covid-19 dikesan di seluruh negara, termasuk 52 daripadanya adalah kes import.

Dalam tempoh sama 101 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, manakala 28,057 pesakit disahkan sembuh dan dibenar keluar dari hospital, menurut MPH.

Sehingga semalam, Thailand merekodkan 3,925,854 kumulatif positif, dengan 3,662,166 pesakit telah pulih; 237,399 masih dirawat di hospital; dan 26,289 meninggal dunia.

Secara berasingan, 8,373 individu lagi diberi suntikan dos pertama vaksin Covid-19; 11,171 suntikan kedua; dan 25,127 penggalak, menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin Covid-19 yang diberikan di seluruh negara itu kepada lebih 131.32 juta dos.

Sementara itu, Singapura pula melaporkan 4,552 jangkitan baharu semalam, hampir dua kali ganda berbanding 2,568 kes yang dicatat pada Isnin.

Bilangan kes pada Selasa cenderung lebih tinggi berbanding sepanjang minggu kerana ia mencerminkan lonjakan jangkitan selepas hujung minggu, apabila lebih ramai individu keluar dalam pelbagai persekitaran sosial.

Tetapi jumlah itu masih rendah daripada angka Selasa lepas (5 April), apabila Kementerian Kesihatan (MOH) merekodkan 6,341 kes baharu Covid-19. Jumlah orang yang dimasukkan ke hospital ialah 324, lebih rendah daripada 339 pada Isnin, dan 518 pada Selasa lalu (5 April).

MOH juga memaklumkan semalam seramai empat pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Sejak awal 2020 hingga semalam, Singapura merekodkan 1,145,121 kumulatif kes positif, dan 1,307 kematian.

Menurut Worldometer, kes yang positif di seluruh dunia meningkat kepada 500.04 juta pada Selasa,dengan 449.86 juta daripadanya telah pulih, 43.97 juta kes aktif, termasuk 44,667 dalam keadaan kritikal, dan 6.21 juta meninggal dunia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR