Thailand rancang batal ujian PCR

Thailand merancang untuk membatalkan sepenuhnya ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) pra-ketibaan bagi pengembara yang telah lengkap divaksinasi mulai April, ketika kerajaan bersiap sedia untuk meraikan Pesta Songkran.

Acara itu yang diadakan pada April sentiasa menjadi tarikan sebahagian besar pelancong yang ingin mengambil bahagian dalam perayaan menyimbah air sempena tahun baharu Siam.

Thailand merancang untuk melonggarkan sekatan Covid-19 mulai awal bulan depan, kata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) pada Jumaat (18 Mac 2022).

Pihak berkuasa telah menggariskan langkah-langkah bagi negara untuk beralih ke era pasca-pandemi dalam empat bulan akan datang, dengan harapan untuk melihat jangkitan Covid-19 mula menurun selepas Mei.

Purata pergerakan tujuh hari penularan Covid-19 di Thailand ketika ini berada pada kira-kira 25,000 kes baharu setiap hari.

Jumlah kes mencecah rekod baharu sebanyak 27,071 pada Jumaat dengan 80 kematian dilaporkan, yang tertinggi sejak awal tahun ini.

“Mulai 1 Julai, jika semuanya berjalan lancar dan seperti yang dirancang, kami berharap kami akan beralih kepada fasa endemik daripada pandemik,” kata jurucakap CCSA, sambil menyatakan bahawa suntikan penggalak sepatutnya diberikan kepada sekurang-kurangnya 60 peratus daripada populasi pada masa itu.

Ketika ini, pengembara ke Thailand perlu mengambil ujian PCR dan menunjukkan keputusan negatif dalam masa 72 jam sebelum perjalanan. Mereka perlu mengambil satu lagi ujian PCR semasa ketibaan dan ujian antigen yang dilakukan sendiri pada hari kelima penginapan mereka.

Keperluan untuk ujian pra-ketibaan tidak lama lagi boleh dimansuhkan mulai 1 April, menurut perbincangan berterusan di CCSA.

“Ia telah dibincangkan dan kemungkinan besar (berlaku),” kata jurucakap.

Selain itu, mulai April, pelawat yang perlu menjalani kuarantin apabila memasuki Thailand – kerana tidak divaksin, misalnya – hanya perlu berada dalam pengasingan selama lima hari dan bukannya sekurang-kurangnya tujuh hari.

Jurucakap itu pada Jumaat juga mengingatkan semua individu untuk mematuhi langkah keselamatan Covid-19 semasa perayaan Songkran pada pertengahan April depan.

Walaupun pesta tradisional seperti simbahan air akan dibenarkan, pesta buih dan pengambilan alkohol di tempat awam tetap dilarang. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR