Thailand percepat suntikan vaksin kepada orang tua, golongan berisiko

Thailand menumpukan suntikan vaksin kepada penduduk Phuket terlebih dahulu untuk membuka semula sektor pelancongan di pulau itu.

Thailand mempercepat suntikan vaksin Covid-19 kepada warga tua dan golongan rentan bagi mengurangkan jumlah pesakit yang berada dalam keadaan kritikal, selepas melaporkan jumlah tinggi kematian tiga hari berturut-turut.

Negara itu semalam melaporkan 57 kematian akibat Covid-19.

Pada awalnya pihak berkuasa kesihatan Thailand merancang menumpukan perhatian program vaksinasi kepada golongan berkenaan, tetapi dialihkan kepada pekerja kilang, komuniti yang mengalami jangkitan tinggi, dan penduduk Phuket.

“Kami mesti memvaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada dua kumpulan itu pada akhir bulan Julai,” kata jurucakap pihak berkuasa kesihatan Thailand Sopon Mekton.

Kedua-dua kumpulan ini mempunyai populasi 17 juta orang, tetapi hanya 0.7% atau 83,000 mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 3.1% golongan rentan, menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat ini.

Pegawai itu memberi amaran bahawa varian Delta dari India dapat tersebar dengan cepat dan boleh menjejaskan kedua-dua golongan berkenaan.

Penasihat Kementerian Kesihatan, Kumnuan Ungchusak pula berkata keadaan akan menjadi bertambah buruk kerana varian Delta sudah mula mendominasi penularan Covid-19 di negara itu.

Katanya, kematian boleh mencapai 2,800 kes sebulan pada September meningkat berbanding 900 kes bulan lalu. Sebanyak 61 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini.

Setakat ini, lebih 2.8 juta daripada 66 juta penduduk Thailand telah menerima vaksin sepenuhnya.

Thailand menjangkakan 10 juta dos vaksin AstraZeneca akan diterima bulan ini, tetapi Ketua Institut Vaksin, Nakorn Premsri, menjelaskan sebahagiannya akan dihantar setiap bulan sehingga September.

Katanya, rakan kongsi AstraZeneca dari Thailand, Siam Bioscience milik kerajaan hanya dapat menghasilkan kira-kira 15 juta dos setiap bulan dan sebahagiannya akan diagihkan kepada negara lain.

Siam Bioscience dan AstraZeneca telah berulang kali menolak untuk membincangkan laporan mengenai kekurangan pengeluaran vaksin.

Thailand juga turut mendapatkan bekalan dari sumber lain termasuk vaksin mRNA Moderna, Pfizer dan BioNTech. – Agensi

POPULAR