Thailand pendekkan sela masa suntikan kedua dan dos penggalak

Thailand memendekkan sela masa antara suntikan dua dos lengkap vaksin Covid-19 dengan dos penggalak kepada tiga bulan bagi meningkatkan imuniti populasinya terhadap varian Omicron.

Kementerian Kesihatan Thailand, menjangkakan penularan tempatan varian Omicron mungkin berlaku setelah mengesan lapan kes import.

Varian baharu ini kini sudah menular di puluhan negara di seluruh dunia.

“Oleh kerana penularan Omicron semakin meluas, suntikan dos penggalak akan membantu mengurangkan gejala teruk dan kadar kematian,” jelas jurucakap pasukan petugas Covid-19 di Thailand, Taweesin Wisanuyothin.

Taweesin memaklumkan penerima lengkap dua dos suntikan vaksin pada Ogos atau September lalu boleh mendapatkan suntikan dos penggalak dengan kadar segera di mana-mana pusat vaksin di seluruh negara.

Jumaat lalu, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom memaklumkan dos penggalak mampu memulihkan perlindungan secara singnifikan terhadap gejala ringan yang disebabkan oleh varian Omicron, dalam penemuan awal daripada analisis dunia nyata.

Satu kajian dunia nyata di Britain mengenai bagaimana dua dos vaksin Covid-19 mampu melawan ancaman Omicron, menunjukkan penurunan ketara perlindungan terhadap kes bergejala yang disebabkan varian baharu dan pantas merebak itu.

Tetapi kajian yang diterbitkan oleh saintis kerajaan Britain pada 10 Disember lalu, juga menunjukkan bahawa dos penggalak memberikan pertahanan yang cukup besar terhadap Omicron.

Thailand hari ini melaporkan 2,862 kes baharu dan 37 kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan angka kumulatif di negara itu semakin menghampiri 2.2 juta kes dengan 21,231 korban sejak tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR