
Thailand akan memulakan suntikan vaksin penggalak kepada rakyatnya mulai 24 September ini.
Individu yang menerima dua dos vaksin Sinovac Covid-19 antara Mac dan Mei lalu akan menjadi kelompok pertama yang layak menerima suntikan penggalak AstraZeneca mulai 24 September ini.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul berkata individu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Sinopharm juga akan menerima suntikan penggalak, tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
“Buat masa ini keutamaan diberikan kepada individu yang telah melengkapkan suntikan Sinovac antara Mac dan Mei lalu,” katanya hari ini sambil menjelaskan penerima Sinopharm juga akan mendapat doa penggalak Astraeneca.
Kerajaan Thailand sebelum ini merancang menawarkan suntikan penggalak kepada rakyatnya yang telah melengkapkan dua dos Sinovac dan Sinopharm, kedua-duanya keluaran China.
Sinovac dikeluarkan syarikat biofarmaseutikal China Sinovac Biotech Ltd, manakala Sinopharm adalah keluaran China National Pharmaceutical Group Corporation, syarikat berkaitan kerajaan China.
Tawaran suntikan dos penggalak kepada orang ramai dibuat setelah majoriti kakitangan kesihatan Thailand menerima dos ketiga masing-masing.
Sehingga hari ini, sebanyak 42.27 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada rakyat Thailand, dengan hanya lebih 20 peratus sahaja daripada populasinya yang lengkap divaksin. Kebanyakan vaksin yang diberi ialah Sinovac dan AstraZeneca.
Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan Thailand pula meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Moderna kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun. Sementara, pemberian vaksin Pfizer kepada pelajar sekolah pula akan bermula bulan depan sebelum sesi persekolahan dibuka November ini.
Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 negara itu melaporkan 171 kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu. Sejak kes kematian pertama akibat Covid-19 direkodkan tahun lalu, sehingga kini 15,124 pesakit telah meninggal dunia.
Daripada jumlah itu, 15,030 pesakit meninggal dunia ketika gelombang terbaharu dan terburuk penularan Covid-19 bermula 1 April lalu.
Dalam tempoh 24 jam itu juga, 14,555 jangkitan baharu dikesan, dan 13,691 lagi sembuh. Thailand kini merekodkan 129,421 kes aktif.
Sejak permulaan penularan virus Covid-19 awal tahun lalu, Thailand mencatatkan lebih 1.44 juta kes positif, dengan 1.42 juta kes direkodkan ketika gelombang ketiga bermula 1 April lalu. – Agensi