Thailand mansuh kuarantin pelancong lengkap vaksinasi

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand memansuhkan arahan kuarantin kepada pelancong asing yang lengkap divaksinasi dari beberapa negara mulai 1 November ini.

Jurucakap CCSA Taweesilp Visanuyothin, berkata pengembara lengkap vaksinasi dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China, Jerman dan Singapura yang tiba dengan pesawat tidak akan diwajibkan menjalani kuarantin.

Langkah itu diambil dalam usaha Thailand untuk menarik lebih ramai pelancong menjelang cuti hujung tahun, sekali gus menghidupkan semula industri pelancongannya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand melaporkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara itu mencecah lebih 1.75 juta individu dengan 1.62 pesakit telah sembuh, 107,925 masih dirawat di hospital, dan 18,029 meninggal dunia.

Hari ini negara itu melaporkan 11,276 kes baharu, dan 134 kematian.

Perdana Menteri Prayut Chan-O-cha sebelum ini menyasarkan 10 negara yang diberi kelonggaran menjalani kuarantin, tetapi CCSA menyemak semula dan memberi kebenaran kepada sedikit sahaja negara.

Pada masa sama CCSA juga memendekkan tempoh masa perintah berkurung daripada jam 11 malam kepada 3 pagi bermula Sabtu ini, selain mengurangkan bilangan wilayah yang dianggap berisiko tertinggi tahap Covid-19 dari 29 hingga 23 wilayah.

Namun, CCSA mengekalkan Bangkok, pintu masuk utama pelancong ke Thailand, sebagai wilayah berisiko paling tinggi dengan penularan Covid-19, kerana jumlah kes yang tinggi.

Keputusan memansuhkan kuarantin bagi pelancong dari negara terbabit dibuat menyusul pengumuman Prayut pada Isnin bahawa Thailand “tidak boleh melepaskan peluang menarik pelancong menjelang akhir tahun bagi menyokong jutaan rakyat negara itu yang terlibat dalam industri pelancongan dan industri berkaitan.

Pelancong yang lengkap vaksinasi bukan daripada negara yang disenaraikan itu bagaimanapun tidak dikenakan kuarantin ketika tiba di wilayah Phuket, dengan syarat tidak boleh merentasi ke wilayah lain. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR