Thailand mahu bincang gelembung pelancongan dengan Malaysia

Thailand merancang mengadakan perbincangan dengan China dan Malaysia bulan ini bagi melaksanakan gelembung perjalanan, beberapa hari setelah menyambung semula program visa tanpa kuarantin bagi meningkatkan kehadiran pelancong yang dilihat sebagai kunci untuk memulihkan semula ekonominya.

Kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha tidak lama lagi akan berbincang dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China mengenai perincian kemungkinan perjanjian perjalanan dua hala, kata jurucakap kerajaan Thailand, Thanakorn Wangboonkongchana dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pegawai Thailand juga sedang bersedia untuk mengadakan rundingan dengan negara jiran, Malaysia, akhir bulan ini untuk perjanjian yang sama, katanya.

Thailand berusaha mengadakan perjanjian dua hala untuk memulihkan semula sektor pelancongannya yang teruk dilanda pandemik, dengan melaksanakan program pengecualaian kuarantin bagi pelawat yang diberi vaksin.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Thailand melancarkan program ‘sandbox’ pelancongan namun gagal menarik sebilangan besar pelancong.

Kehadiran pelancong China dan Malaysia, kumpulan pelawat terbesar ke Thailand sebelum wabak, dilihat oleh pihak industri pelancongan sebagai kunci kepada pemulihan yang mampan.

“Kami fikir gelembung perjalanan akan menjadi lebih positif untuk sektor pelancongan Thailand daripada skim bebas kuarantin ‘Test & Go’ yang sedang dilaksanakan, kerana yang terakhir sahaja tidak mencukupi untuk menarik pelancong yang perlu dikuarantin sekembalinya mereka,” Tim Leelahaphan, pakar ekonomi Standard Chartered Plc yang berpangkalan di Bangkok.

“Walaupun rancangan itu merupakan titik permulaan yang baik, kami berpendapat laluan pemulihan yang jelas dan kukuh tidak mungkin dalam masa terdekat dan berkemungkinan besar pada separuh kedua atau akhir tahun ini,” katanya lagi.

Pelancong China dan Malaysia menyumbang lebih satu pertiga daripada 40 juta pengunjung ke Thailand pada 2019, menyumbang lebih daripada AS$20 bilion hasil pelancongan, menurut data rasmi.

Menerusi gelembung perjalanan, pelancong tidak akan dikenakan kuarantin, dan boleh menikmati kemudahan visa dan penginapan khas, kata Thanakorn.

“Negara-negara itu juga akan bersetuju mengenai kuota untuk pengembara dan mengenal pasti zon khusus untuk pergerakan mereka bagi mencegah wabak baharu Covid-19,” katanya.

“Perdana menteri percaya Thailand kekal sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk pelancong asing walaupun semasa wabak,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR