Thailand larang perhimpunan awam, Covid-19 semakin menular

Thailand mengenakan larangan perhimpunan awam di seluruh negara itu, selain menimbang lebih banyak sekatan pergerakan, setelah pihak berkuasa melaporkan jangkitan baharu hari ini melebihi 10,000 kes, walaupun 10 wilayah, termasuk Bangkok dikenakan perintah berkurung dan penutupan.

Terdahulu pasukan petugas Covid-19 Thailand melaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, 10,082 kes baharu dikesan dan 141 kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 391,989 kes dan 3,240 kematian, sejak wabak itu melanda Thailand pada awal tahun lalu.

Larangan mengadakan perhimpunan awam telah dikuatkuasakan. Hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga 40,000 baht (RM5,134) atau kedua-duanya, demikian menurut pengumuman rasmi dalam Royal Gazette diterbitkan lewat malam tadi.

Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha berkata kerajaan juga sedang menimbang untuk mengenakan lebih banyak sekatan ketika negara itu memerangi gelombang baharu Covid-19 dan terburuk, yang didorong oleh varian Alpha dan Delta yang sangat mudah menular sejak awal April.

“Ada keperluan untuk memperluaskan lagi langkah-langkah membatasi pergerakan orang sebanyak mungkin dan menutup lebih banyak kemudahan, kecuali yang penting,” katanya dalam Facebook rasminya.

Sejak Isnin lalu, kawasan yang dianggap berisiko tinggi di Thailand telah diletakkan di bawah sekatan yang paling ketat dalam tempoh lebih setahun, dengan mengehadkan pergerakan, perjumpaan, penutupan pusat beli-belah dan mengenakan perintah berkurung mulai 9 malam hingga jam 4 pagi.

“Setelah menilai langkah-langkah tersebut kami dapati ia masih ada masalah. Kami mungkin menutup lebih banyak tempat dan memperhebat langkah-langkah sekatan,” kata Apisamai Srirangsan, jurucakap pasukan petugas Covid-19 Thailand.

Kerajaan Thailand juga merancang meningkatkan ujian saringan Covid-19 yang kini meliputi 70,000 hingga 80,000 sehari dengan memperkenalkan kit ujian yang boleh dibeli di farmasi.

Kementerian Kesihatan Thailand minggu ini juga memberi kebenaran kepada pesakit untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah bagi mereka yang bergejala ringan.

Palang Merah Thailand dalam kenyataan memaklumkan membeli satu juta dos vaksin Moderna dari Pertubuhan Farmasi Kerajaan (GPO). GPO akan menandatangani perjanjian minggu depan untuk mengimport lima juta dos vaksin Moderna yang akan tiba di Thailand pada suku keempat atau awal tahun depan.

Thailand melancarkan program vaksinasi besar-besaran bulan lalu lebih banyak bergantung kepada suntikan dos AstraZeneca yang dikilangkan di negara itu, tetapi hanya lima peratus daripada 66 juta populasinya yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR