
Thailand meluluskan campuran suntikan Sinovac dan AstraZeneca kepada kakitangan perubatannya. - Gambar Reuters
Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini memaklumkan dalam tempoh 24 jam lalu, 18,901 jangkitan baharu Covid-19, kedua tertinggi, dikesan di seluruh negara itu, sementara 147 pesakit meninggal dunia.
Thailand merekodkan jumlah kes harian tertinggi sebanyak 18,912 kes pada 31 Julai lalu.
Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes di negara itu meningkat kepada 652,185 kes sementara 6,315 pesakit meninggal dunia.
Sementara itu, kementerian berkenaan juga menegaskan bahawa semua kakitangan kesihatan dan anggota pasukan penyelamat, akan menerima vaksin Pfizer, selagi mereka sihat dan sesuai dengan garis panduan penerimaan vaksinasi berasaskan mRNA.
Jawatankuasa kecil peningkatan imuniti penyakit memutuskan pada Ahad untuk menetapkan garis panduan bagi 1,503,450 dos Pfizer yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang tiba di negara itu pada Jumaat.
Daripada jumlah itu kira-kira 700,000 dos akan diberi kepada kakitangan perubatan.
Bagaimanapun, angka itu menimbulkan persoalan terhadap pembahagian vaksin itu kerana ramai kakitangan perubatan yang tidak menepati kritieria ditetapkan kementerian berkenaan.
Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang menguruskan vaksin, Dr Sira Wisetsak menjelaskan kakitangan perubatan dan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko dijangkiti Covid-19 akan memperoleh vaksin Pfizer.
“Semua kakitangan perubatan dan petugas barisan hadapan akan memperoleh vaksin mengikut kriteria ditetapkan. Kami percaya kriteria itu merangkumi semua staf perubatan. Jika ada vaksin berlebihan, ia akan diberi kepada kakitangan lain yang memerlukan,” katanya.
Bagaimanapun, banyak pertubuhan bukan kerajaan mendesak kementerian itu memberi suntikan Pfizer kepada kakitangan perubatan tanpa mengenakan syarat kerana mereka berdepan jangkitan Covid-19.
Ketua Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Opas Karnkawinpong pula menjelaskan kakitangan perubatan, petugas barisan hadapan, pelajar atau pegawai kerajaan yang menjadi berhubung rapat dengan pasakit Covid-19 akan mendapat vaksin Pfizer sekiranya mereka telah menerima dua dos suntikan Sinovac atau Sinopharm.
Bagaimanapun, beliau berkata sesiapa yang telah menerima kedua-dua dos Sinovac dan AstraZeneca atau vaksin AstraZeneca sebagai dos penggalak, tidak disyorkan untuk menerima Pfizer. – Agensi