Thailand kesan penularan tempatan pertama varian Omicron

Thailand mengesan penularan tempatan pertama jangkitan Covid-19 varian Omicron di wilayah Kalasin di timur laut Thailand.

Jurucakap pasukan petugas Covid-19 negara itu, Apisamai Srirangsan memaklumkan daripada kluster tersebut, terdapat lebih 21 jangkitan baharu yang dikesan.

“Jangkitan tersebut berpunca daripada pasangan yang melakukan perjalanan dari Belgium melalui program ‘Test & Go’ negara itu, yang mengecualikan kuarantin kepada ketibaan pelancong lengkap divaksin.

“Sebelum ini, kedua-dua individu tersebut diuji negatif Covid-19 sebelum melakukan perjalanan dan selepas tiba di Thailand pada awal Disember lalu.

“Namun, pada 15 Disember lalu, mereka mula mengalami simptom dan disahkan positif serta kemudiannya dikesan memiliki varian Omicron,” jelasnya.

Pengumuman tersebut dibuat ketika ibu kota Thailand, Bangkok membatalkan semua sambutan sempena Tahun Baharu tajaan kerajaan.

Tetapi, acara bunga api yang dianjurkan oleh pusat beli-belah masih diteruskan dan pengunjung perlu menunjukkan bukti vaksinasi dan keputusan negatif ujian antigen untuk menghadiri acara tersebut.

Selain itu, kementerian kesihatan sebelum ini juga ada memaklumkan bakal mengenakan suntikan dos penggalak keempat untuk kakitangan perubatan.

Sehingga kini, Thailand berjaya mengesan 205 jangkitan melibatkan Omicron, yang kebanyakannya dikesan dalam kalangan ketibaan asing dan daripada angka itu, 25 lain dijangkiti varian itu daripada mereka yang tiba dari luar negara.

Pegawai Kanan Kesihatan, Supakit Sirilak memakluman dalam satu taklimat berita, kelompok penularan melibatkan rakyat tempatan di selatan negara itu masih dalam siasatan.

“Isnin lalu, Thailand melaporkan penularan tempatan pertama varian Omicron dan kemudian melaksanakan semula perintah kuarantin untuk ketibaan asing termasuk pelancong lengkap divaksin.

“Manakala, bagi program ‘Sand-Box’ turut akan mengkehendaki pelancong untuk kuarantin di pulau peranginan Phuket selama tujuh hari kekal dilaksanakan.

“Kita perlu melaksanakan kembali tindakan perlindungan dengan teliti bagi memperlahankan penularan ini sebanyak mungkin,” jelas Supakit.

Semalam, Thailand merekodkan lebih 2,532 kes baharu dan 22 kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan angka kumulatif di negara itu mencecah 2.2 juta dengan 21,580 korban sejak tahun lalu.

Setakat ini, sekitar 62 peratus daripada 72 juta populasi yang menetap di negara itu sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR