
Pakar penyakit berjangkit dan penjagaan kritikal memberi amaran jangkitan Covid-19 akan melonjak semula susulan penularan subvarian Omicron.
Thailand mengesan kes pertama Covid-19 sub-varian Omicron terbaharu, BA.2.75, yang awalnya dilaporkan di India pada Jun dan kini terdapat di sekurang-kurangnya 15 negara, kata Kementerian Kesihatan Awam (PHM) Thailand.
Sub-varian itu ditemui pada seorang lelaki berusia 53 tahun di wilayah selatan Trang pada 28 Jun. Sampelnya dihantar ke Jabatan Sains Perubatan untuk penjujukan DNA, kata Pusat Genomik Perubatan (CMG) Hospital Ramathibodi .
Dia telah menghadiri mesyuarat antarabangsa di Phuket sebelum mengalami gejala Covid-19 dan kemudiannya disahkan positif.
Kes itu direkodkan dalam GISAID, pangkalan data Covid-19 dunia, pada Isnin sebagai contoh pertama BA.2.75 di Thailand.
Sehingga Rabu lalu, 359 kes BA.2.75 telah direkodkan dalam GISAID, kata Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Suakit Sirilak.
Sub-varian itu dipercayai lebih mampu memintas imuniti yang dihasilkan oleh vaksin Covid-19 sedia ada dan imuniti semula jadi yang diperoleh melalui jangkitan berbanding varian sebelumnya.
BA.2.75 ialah sub-varian Omicron BA.2, yang bertanggungjawab mencetuskan wabak di beberapa tempat termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong awal tahun ini.
Walaupun terdapat beberapa tanda bahawa BA.2.75 mungkin lebih mudah berjangkit atau dikaitkan dengan jangkitan yang lebih teruk berbanding dengan pendahulu Omicronnya, buktinya adalah lemah atau belum dinilai lagi.
Oleh itu, pada 7 Julai lalu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah menetapkan varian BA.2.75 sebagai “varian dalam pemantauan”. – Agensi