Thailand guna pil Favipiravir rawat pesakit Covid-19 kritikal

Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini melaporkan 21,038 jangkitan baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, meningkat berbanding 19,843 jangkitan yang dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif 816,989 kes sejak awal tahun lalu.

Pada masa sama 207 kes kematian direkodkan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhannya 6,795 pesakit meninggal dunia.

Thailand yang sebelum ini antara negara Asia Tenggara yang berjaya mengawal penularan awal wabak Covid-19, kini berdepan situasi terburuk gelombang ketiga, dengan hampir seluruh wilayah di negara itu diletakkan di bawah perintah berkurung waktu malam, selain sekatan pergerakan.

Sementara itu, program vaksinasinya dilihat gagal mengekang jangkitan, Thailand kini berusaha mendapatkan bekalan ubat anitivirus jenis Favipiravir untuk merawat pesakit Covid-19 kerana jumlah kes positif dan kematian semakin meningkat.

Majlis Farmasi Thailand dilapor mengeluarkan surat amaran kepada Kementerian Kesihatan tentang kekurangan ubat Favipiravir kerana permintaannya meningkat daripada 30 juta biji pil per bulan bakal menjadi 50 juta biji pil jika jumlah pesakit Covid-19 terus meningkat.

“Walaupun Organisasi Farmaseutikal Kerajaan (GPO) Thailand telah berjaya menghasilkan versi tersendiri Favipiravir sejak tahun lalu ketika gelombang pertama Covid-19 melanda, namun kapasiti pengeluarannya sangat terhad dengan penghasilan hanya dua juta pil sebulan,” kata Presiden GPO, Jiraporn L Storageon.

Antivirus Favipiravir dijual dengan nama jenama Avigan dan hasil kajian mendapati, ia dapat merawat jangkitan virus termasuk SARS dan Covid-19, serta telah diluluskan untuk merawat selesema baharu yang dikesan di Jepun.

Sejak tahun lalu, Thailand sudah mula mengimport ubat itu dari Jepun untuk merawat pesakit Covid-19.

Pada pertengahan tahun ini, GPO berjaya mengembangkan ubat Favipiravir versinya sendiri, dan telah dipasarkan dengan jenama “Favir” untuk 200 mg bagi setiap tablet.

Pada awal bulan Ogos lalu, “Favir” telah didaftarkan di bawah agensi Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand.

Pengeluaran bagi fasa pertama ubat itu dapat dihasilkan sehingga dua juta tablet per bulan dan pihak GPO akan terus meningkatkan produksi pengeluarannya.

“Kementerian Kesihatan Awam harus segera mendapatkan ubat tambahan dari sumber lain secepat mungkin, kerana Thailand akan berdepan dengan kekurangan Favipiravir yang serius kerana jumlah jangkitan Covid-19 dijangka akan terus meningkat dengan mendadak ke tahap tertinggi bulan ini,” jelas Jiraporn.

Di Thailand, Favipiravir telah menjadi ubat utama untuk merawat pesakit Covid-19 yang berada pada tahap kritikal.

Pengarah GPO, Dr Vitoon Danwiboon memaklumkan pihaknya akan berusaha untuk memperoleh sekitar 43.1 juta pil Favipiravir yang di import dari Jepun pada bulan ini kerana ramalan bagi jangkitan Covid-19 di negara itu akan terus meningkat.

Selasa lalu, kebimbangan gelombang jangkitan harian di Thailand terutamanya di Bangkok, pusat wabak tetap kekal tinggi pada 19,843 kes dan jumlah kematian telah mencecah ke paras tertinggi iaitu 235 kes.

Terdapat ramalan dari beberapa ahli epidemiologi dan virologi bahawa kes jangkitan baharu di negara itu dapat mencecah sehingga 40,000 sehari pada bulan ini.

Bagaimanapun, terdapat penjualan Fivapiravir palsu di pasaran yang dijual dalam talian kepada pesakit Covid-19 yang terdesak memerlukan ubat itu ketika melakukan kuarantin kendiri di rumah sebelum mendapat rawatan di Hospital.

Pihak Kerajaan Thailand menjelaskan bahawa ubat Firapiravir ini hanya boleh dibeli atas saranan doktor dan ia tidak dijual di kaunter atau farmasi kerana ubat ini hanya khusus digunakan bagi merawat pesakit Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR