Thailand catat lebih 3 juta kes positif

Angka kes Covid-19 di Thailand melepasi tiga juta pada Sabtu (5 Mac 2022), ketika pihak berkuasa kesihatan meningkatkan usaha untuk memerangi gelombang terbaharu wabak itu.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 22,818 kes baharu melalui ujian RT-PCR dan 52 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan negara kepada 3,004,814 kes dan 23,176 kematian sejak Januari 2020.

Pada masa sama, 33,085 orang disahkan positif Covid-19 melalui kit ujian antigen. Bagaimanapun, angka itu tidak dimasukkan dalam pengiraan harian, lapor Bernama.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr. Sophon Iamsirithavorn berkata varian Omicron yang sangat mudah menular adalah punca gelombang Covid-19 semasa di negara itu, dengan purata 22,000 kes sehari sepanjang dua minggu lalu.

“Jumlah kes serius, seperti jangkitan paru-paru yang memerlukan rawatan di hospital, meningkat 1.5 kali ganda dalam tempoh yang sama,” katanya dipetik oleh Thai PBS.

Sementara itu, Dr Sophon menggesa warga emas terutamanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak divaksinas untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum perayaan Songkran pada pertengahan April kerana jangkitan mungkin meningkat apabila keluarga saling berkunjung dan berkumpul semasa musim perayaan.

Beliau berkata statistik menunjukkan kira-kira 2.17 juta warga emas masih belum divaksin.

“Vaksinasi mengurangkan risiko jangkitan dan keterukan gejala. Justeru, warga emas dan yang lebih berusia perlu mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin,” katanya.

Sejak Januari tahun ini, 928 warga emas meninggal dunia akibat Covid-19 di Thailand dengan kebanyakannya tidak divaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR