Thailand catat kes baharu Covid-19 terendah sejak 26 Julai

Kementerian Kesihatan Awam Thailand melaporkan 10,919 jangkitan baharu dan 143 kematian akibat Covit-19 dalam tempoh 24 jam lalu di seluruh negara itu, terendah sejak 26 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, tujuh membabitkan kes import dan 422 melibatkan jangkitan dalam kalangan banduan, kata kementerian itu.

Sejak 1 April lalu, tatkala gelombang ketiga penularan Covid-19 bermula, Thailand merawat lebih 1.47 juta pesakit, dengan sehingga semalam 1.32 juta pesakit disahkan sembuh sepenuhnya.

Sejak pandemik Covid-19 menular dan menjangkiti rakyat negara itu tahun lalu, Thailand merekodkan lebih 1.5 juta kes positif, manakala 15,612 pesakit meninggal dunia.

Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 10,490 disahkan dijangkiti Covid-19 di hospital, manakala 644 dikesan menerusi ujian saringan besar-besaran yang dilakukan di lapangan.

Wilayah Bangkok merekodkan 2,561 kes baharu diikuti 858 di Samut Prakan; Chon Buri (629); Narathiwat (379); Ratchaburi (361); Yala (284); Nonthaburi (280); Rayong (272); Songkhla (267); dan Samut Sakhon (237).

Greater Bangkok pula melaporkan 4,184 jangkitan baharu hari ini dan 69 kes kematian. Empat wilayah Selatan merekodkan 1,127 kes baharu dan 10 kematian, manakala 67 wilayah lain mencatatkan 5,179 kes baharu dan 61 kematian.

Tujuh kes import yang dikesan pula membabitkan empat dari Malaysia, dan masing-masing satu dari Amerika Syarikat, Laos, dan Myanmar. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR