Thailand catat kenaikan kes empat hari berturut-turut

Pakar kesihatan mencadangkan suntikan ketiga dos vaksin Covid-19 bagi meningkatkan imuniti. - Gambar EPA-EFE

Thailand hari ini merekodkan 11,784 kes baharu Covid-19 – kenaikan empat hari berturut-turut melebihi angka 10,000 – ketika negara itu sedang berusaha mengatasi wabak terburuk dengan melaksanakan perintah berkurung dan cuba mengharamkan eksport vaksin AstraZeneca yang dikilangkan di negara itu.

Pasukan Petugas Covid-19 Thailand juga telah mengumumkan 81 kes kematian baharu, menjadikan jumlah kematian di negara itu sebanyak 3,422 kes dan keseluruhan kes jangkitan yang didaftarkan adalah sebanyak 415,170 kes.

Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Opas Karnkawinpong berkata, pihak berkuasa kesihatan Thailand akan meningkatkan lagi usaha untuk memberikan lebih banyak vaksin kepada rakyatnya bagi memerangi varian Delta Covid-19.

Perjanjian untuk menyediakan 20 juta dos vaksin Pfizer akan diselesaikan pada hari ini dan tempahan untuk lebih 50 juta dos lagi akan dipertimbangkan.

Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul juga telah meminta persetujuan Pasukan Petugas Covid-19 untuk menghentikan seketika eksport vaksin AstraZeneca buatan tempatan sebagai cara untuk menampung bekalan vaksin Covid-19 negara itu.

Thailand telah menghasilkan vaksin AstraZeneca buatan tempatan sejak bulan lalu dan dijadualkan untuk mengeksportnya ke beberapa negara lain di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, dan juga Taiwan.

Pihak AstraZeneca mengatakan bahawa kemudahan pengeluaran vaksin buat Thailand sangat penting untuk rantau ini dan syarikat itu bekerjasama dengan Kerajaan Thailand dan lain-lain negara untuk terus membekalkan akses vaksin yang mencukupi.

Bagaimanapun kelmarin, sebuah agensi berita Thailand mendedahkan dokumen antara kerajaan Thailand dan pengeluar vaksin Covid-19 AstraZeneca yang menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen membekalkan 100 juta dos sehingga akhir tahun ini.

Agensi berita Isra mendedahkan surat dihantar Naib Presiden Hal Ehwal Korporat AstraZeneca Inc, Sjoerd Hubben kepada Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, 22 hari lalu.

Surat itu menjelaskan kepada kementerian bahawa paling banyak Thailand boleh mendapat vaksin itu daripada pengeluar tempatan yang memperoleh kontrak dari pengeluar ubat berpangkalan di Eropah itu, adalah lima hingga enam juta dos sebulan, selaras dengan perbincangan awal kedua-dua pihak sebelum ini.

Sehingga Jun lalu lebih lima peratus daripada 66 juta penduduk Thailand telah menerima dua dos vaksin jenis Sinovac dan AstraZeneca. – Agensi

POPULAR