Thailand catat 16,994 kes hari ini

Kementerian Kesihatan Awam Thailand (PHM) melaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, 18 April 2022, negara itu mencatat 16,994 kes baharu dengan 76 daripadanya adalah kes import.

Angka kematian meningkat sebanyak 124, manakala 25,910 pesakit telah sembuh dan dibenarkan meninggalkan hospital.

Thailand mencatat kumulatif positif sebanyak 4,046,953, dengan 3,814,433 pesakit telah pulih, 205,514 masih di hospital dan 27,006 telah meninggal dunia.

Sementara itu, jumlah kes Covid-19 di Thailand kini berada pada trajektori melengkung dan menurun, menurut Pensyarah Sains Universiti Chulalongkorn Jessada Denduangboripant.

Memetik statistik PHM, beliau menjelaskan bahawa jumlah jangkitan wabak Omicron Covid-19 melonjak pada Februari sebelum memuncak pada awal Mac.

Beliau berkata keluk jangkitan kemudian naik semula pada akhir Mac selepas subvarian Omicron BA.2 tiba di Thailand. Bagaimanapun, beban kes mula berkurangan pada April.

“Oleh itu, kami boleh mengesahkan bahawa jumlah kes Covid-19 di Thailand kini berada pada trajektori menurun,” katanya.

“Penurunan jangkitan Covid-19 adalah sejajar dengan situasi global, yang menyaksikan kes baharu memuncak dua bulan lalu sebelum jatuh.”

Bagaimanapun, keluk jangkitan Thailand telah jatuh lebih perlahan berbanding tempat lain kerana negara itu dilanda wabak serentak subvarian Omicron BA.1 dan BA.2, tambahnya.

Jessada juga meramalkan peningkatan kes baharu selepas Pesta Songkran tetapi berkata kadar jangkitan tidak akan mencapai tahap yang berlaku pada permulaan wabak Omicron.

Tambahnya, jumlah pesakit yang mengalami masalah paru-paru dan memerlukan alat bantuan pernafasan masih tinggi, sejajar dengan jumlah jangkitan Covid-19 setiap hari.

BERITA BERKAIT
POPULAR