Thailand buka semula tiga lagi pulau pelancongan mulai 15 Julai

Pihak berkuasa Thailand membuka semula sektor pelancongan di tiga lagi pulau – Samui, Phangan dan Tao di Wilayah Surat Thani – selepas berbuat demikian di Pulau Phuket, 15 Julai ini melalui program ‘Model Samui Plus’.

Ketua Setiausaha Pejabat Perdana Menteri, Thanakorn Wangboonkongchana memberitahu media mulai 6 Julai pulau-pulau itu akan mula beroperasi untuk pelancongan antarabangsa kerana 71.4 peratus penduduknya telah divaksin sepenuhnya.

Syarat bagi program ini sama seperti program “Phuket Sandbox” yang dilancarkan pada 1 Julai lalu.

Pada minggu pertama, pelawat asing hanya dibenarkan menetap di Samui dan selepas tujuh hari, baharu mereka dibenar melakukan perjalanan bebas di sekitar Samui, Koh Phangan dan Koh Tao.

Pelancong yang tiba di pulau itu dikehendaki melakukan tiga kali ujian Covid-19 iaitu pada hari pertama ketibaan, hari keenam atau ketujuh dan pada hari ke-13.

Setelah dua minggu dikuarantin di pulau itu, pelancong yang didapati negatif ujian berkenaan akan dibenarkan untuk melawat ke wilayah lain di negara itu.

Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT), Yuthasak Supasorn melaporkan sejumlah 1,000 pelancong asing dijangka tiba dalam 30 hari pertama selepas program ini dilancarkan. Program itu dijangka dapat menghasilkan pendapatan sekurang-kurangnya 100 juta bhat (lebih AS$3 juta) untuk ekonomi wilayah itu.

Pada 5 Julai lalu lebih 1,755 pelancong yang telah menginap di 300 hotel di seluruh Pulau Phuket.

Kerajaan Thailand menjangkakan kira-kira 100,000 pelancong asing akan mengunjungi Phuket pada suku ketiga tahun ini dan menghasilkan 8.9 bilion bhat (AS$278 juta) untuk pendapatan negara. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR