Thailand buka semula ‘Test & Go’, jangka 300,000 pelawat bulan ini

Thailand menjangka kemasukan ratusan ribu pelancong sebulan setelah menyambung semula program visa tanpa kuarantin – model bagi negara itu yang bergantung kepada pelancongan – mengimbangi pembukaan semula sempadan dengan selamat dan kebangkitan ekonominya.

Bermula hari ini, pelawat dari semua negara boleh memohon kemasukan tanpa kuarantin ke Thailand, dengan membuktikan mereka lengkap divaksinasi.

Kerajaan menjangkakan antara 200,000 dan 300,000 pengembara akan mengambil kesempatan daripada apa yang dipanggil program ‘Test & Go’ pada Februari, dengan jumlahnya dijangka meningkat pada bulan-bulan berikutnya.

Pembukaan semula secara lebih luas – program bebas kuarantin sebelum ini dihadkan kepada pelawat dari kira-kira 60 negara sahaja – adalah sebahagian daripada desakan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha untuk mengamalkan strategi ‘hidup dengan Covid’ bagi menyelamatkan ekonomi negara itu yang dilanda pandemik.

Kira-kira satu perlima daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand bergantung kepada sektor berkaitan pelancongan, sebelum Covid-19 melanda awal 2020 lalu.

Thailand naik ke tangga 18 dalam senarai daya tahan Covid-19 terbaharu Bloomberg dengan peningkatan dalam vaksinasi dan pengawalan wabak yang didorong oleh Omicron.

Kerajaan Prayuth menjangkakan lima juta pelawat asing tahun ini, dengan kebanyakan ketibaan dijangka dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS), dan jumlah itu mungkin mencecah sembilan juta jika pelancong China dan India kembali, menurut jurucakap Thanakorn Wangboonkongchana.

Kemasukan pelancong China – kumpulan pelawat terbesar ke Thailand sebelum Covid-19 tercetus – agak kabur untuk beberapa bulan akan datang, menurut ahli ekonomi Standard Chartered berpangkalan di Bangkok, Tim Leelahaphan.

Namun, pembukaan semula akan membantu Thailand kembali kepada lebihan akaun semasa kira-kira 1.5 peratus daripada KDNK tahun ini, walaupun tahap itu akan berada di bawah purata sebelum wabak itu, katanya dalam satu laporan.

Thailand telah melalui beberapa fasa rancangan sejak dua tahun lalu untuk memulihkan sektor pelancongan, yang menarik 40 juta pelancong asing dan menjana lebih daripada AS$60 bilion pada 2019.

Kira-kira 350,000 pengunjung mengambil kesempatan daripada fasa pertama program Test & Go, sebelum digantung pada akhir Disember untuk menghalang penyebaran varian Omicron.

“Thailand adalah antara destinasi pelancongan utama dunia kerana semua tarikan yang indah dan nilai untuk wang dibelanjakan,” kata Burin Adulwattana, ketua ekonomi di Bangkok Bank.

“Tetapi kerajaan harus cuba menyemai keyakinan dalam kalangan pelancong bahawa dasar itu tidak akan berubah lagi,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR