Thailand benar kapasiti penuh pesawat domestik

Pihak berkuasa Thailand membenarkan syarikat penerbangan domestik beroperasi dengan kapasiti penuh mulai hari ini, berbanding sekitar 75 peratus sebelum ini.

Langkah itu diambil Pihak Berkuasa Penerbangan Awan Thailand (CAAT) susulan kelonggaran sekatan Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan, kata Ketua Pengarah CAAT, Suttipong Kongpool.

Menurutnya beliau telah menandatangani kelulusan itu semalam bagi memberi kebenaran kepada semua syarikat penerbangan dalam negeri beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Syarikat penerbangan juga boleh beroperasi sehingga malam, susulan langkah kerajaan memendekkan tempoh perintah berkurung daripada jam 11 malam kepada 3 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Bangkok yang bakal dibuka kepada pelancong antarabangsa mulai bulan depan akan menyediakan pusat khas bagi melakukan ujian saringan terhadap pengembara asing yang tiba di ibu kota Thailand itu.

Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang berkata langkah pencegahan perlu diambil susulan tindakan kerajaan untuk membuka semula negara itu kepada pelancong asing mulai 1 November ini.

“Majlis bandar raya telah mengambil langkah-langkah untuk menyambut kembali pengunjung asing yang sesuai dengan rancangan pembukaan semula pemerintah.

“Bangkok perlu mencegah penularan dalam kalangan penduduk dan pelancong asing. Oleh itu, Dewan Bandaraya akan menetapkan tempat pemeriksaan Covid-19 di ibu negara, sama seperti dilaksanakan di Phuket, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR