Thai rapatkan jurang suntikan AstraZeneca kepada lapan minggu

Thailand merapatkan jurang suntikan pertama dan kedua vaksin AstraZeneca bagi mengekang varian Delta. - Gambar EPA-EFE

Thailand akan memendekkan masa antara pemberian suntikan pertama dan kedua vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada lapan minggu, berbanding 10 hingga 12 minggu sebelum ini, di wilayah di mana terdapat wabak varian Delta.

Kawasan di mana varian Delta yang lebih menular – pertama kali dikenal pasti di India – telah dikesan dapat ‘menyesuaikan masa untuk dos kedua’, kata Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand, Dr Kiatiphum Wongrajit.

Langkah itu diambil setelah Thailand minggu lalu mengetepikan rancangan untuk merenggangkan jurang masa selama 16 minggu bagi suntikan dos kedua AstraZeneca dalam usaha memperbanyakkan pemberian vaksin kepada lebih ramai penduduk.

Thailand melaporkan kes pertama varian Delta di Bangkok bulan lalu dan sehingga kini ia telah merebak ke 20 wilayah dengan lebih 660 kes direkodkan.

Program vaksinasi Thailand, yang menggunakan campuran dos Sinovac dan AstraZeneca, berdepan kelewatan seminggu selepas ia bermula pada bulan Jun, kerana bekalan yang terhad.

Sekurang-kurangnya 2.2 juta individu daripada 66 juta populasi negara ini sudah diberi suntikan vaksin sepenuhnya.

Bangkok, pusat terbaharu wabak Covid-19 dengan rata-rata sekitar 1,000 jangkitan setiap hari, berdepan masalah apabila dilaporkan menghadapi kekurangan katil di wad Covid-19 di kebanyakan hospital kerajaan.

Negara itu juga turut mengesan penularan setempat Covid-19 varian Beta (Afrika Selatan) membabitkan seorang peniaga dari Tak Bai, Narathiwat, di Selatan Thailand.

Thailand semalam melaporkan 4,059 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 225,365 kes dan 1,693 kematian sejak April lalu. – Agensi

POPULAR