Thai benar penerbangan domestik beroperasi semula 1 September

Thailand membenarkan penerbangan domestik dari dan ke Bangkok serta beberapa kawasan berisiko tinggi Covid-19, beroperasi semula mulai 1 September ini, kata pihak berkuasa penerbangan negara itu CAAT), dalam usaha meningkatkan semula aktiviti ekonominya.

Pengumuman itu menyusuli kelonggaran sekatan ketat yang dikenakan di 29 wilayah berisiko tinggi mulai bulan depan, termasuk membenarkan pergerakan lintas wilayah dan pembukaan semula pusat beli-belah, ketika kerajaan berusaha untuk menghidupkan kembali ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Syarikat penerbangan tempatan dibenar memulakan operasi dengan 75 peratus kapasiti dan penumpang diwajibkan mematuhi syarat perjalanan, termasuk menunjukkan bukti telah divaksin dan negatif ujian saringan, kata CAAT dalam kenyataan.

Penerbangan ke wilayah pelancongan yang telah dibuka semula juga dibenarkan, kata CAAT.

Syarikat penerbangan, termasuk Asia Aviation dan Bangkok Airways, telah mengumumkan akan memulakan operasi di beberapa wilayah mulai minggu depan.

Kelonggaran sekatan itu dibuat setelah Thailand melepasi kemuncak gelombang penularan apabila kes baharu harian turun di bawah 23,000.

Hari ini Thailand melaporkan 16,536 jangkitan baharu dan 264 kematian.

Walaupun kes baharu dilihat masih tinggi, namun pihak kesihatan Thailand yakin ianya akan semakin turun, setelah jumlah penduduk yang menerima vaksin juga meningkat.

Thailand telah memulakan program vaksinasi besar-besaran mulai Jun lalu dan sehingga kini hanya 11 peratus daripada 66 juta populasinya telah melengkapkan dos masing-masing. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR