Tentera Russia mula masuk Ukraine

Presiden Russia Vladimir Putin mengarahkan tenteranya memasuki Ukraine setelah mengiktiraf dua wilayah di timur negara itu – Donetsk dan Luhansk – sebagai merdeka, dengan memberi alasan pasukan itu bertindak sebagai pengaman.

Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun, melihat tindakan itu sebagai sebahagian daripada percubaan Moscow untuk mencipta alasan bagi melakukan pencerobohan selanjutnya ke atas Ukraine.

Bercakap pada sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Selasa, Duta AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield, menyifatkan arahan Russia untuk menempatkan ‘pasukan pengaman’ di timur Ukraine sebagai ‘karut’.

Pengerusi Hal Ehwal Politik PBB, Rosemary DiCarlo pula memberi amaran bahawa risiko ‘konflik besar’ adalah nyata dan perlu dicegah.

Beliau mengulangi bahawa PBB komited terhadap kedaulatan, kemerdekaan dan integriti wilayah Ukraine, dalam sempadan yang diiktiraf antarabangsa.

Wartawan Reuters melihat kereta kebal Russia mula digerakkan ke pinggir Donetsk, bandar di salah satu wilayah di Ukraine.

Tidak pasti sama ada tindakan itu adalah permulaan pencerobohan ke atas Ukraine sebagaimana amaran dikeluarkan AS dan sekutunya sejak beberapa minggu lalu.

Dalam ucapan panjang di televisyen, Putin, kelihatan marah dan menyifatkan Ukraine sebagai sebahagian daripada sejarah Russia.

Menurutnya timur Ukraine adalah tanah Russia purba dan beliau yakin rakyat negara itu akan menyokong keputusannya.

Televisyen Russia menunjukkan Putin disertai ketua pemimpin pemisah yang disokong Russia, menandatangani dekri mengiktiraf kemerdekaan kedua-dua wilayah Ukraine yang memisahkan diri bersama-sama dengan perjanjian kerjasama dan persahabatan.

Menentang amaran Barat terhadap tindakan sedemikian, Putin mengumumkan keputusannya dalam panggilan telefon kepada pemimpin Jerman dan Perancis sebelum ini, kata Kremlin. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR