Tentera pendamai dihantar bantu stabilkan huru-hara di Kazakhstan

Pasukan pendamai dari pakatan tentera negara-negara bekas Soviet diketuai Russia akan dihantar ke Kazakhstan bagi membantu menstabilkan situasi di negara itu, susulan tunjuk perasaan berhubung kenaikan harga minyak, sehingga menyebabkan kematian.

Penghantaran pasukan tentera itu susulan permintaan daripada Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev setelah pergolakan tercetus di seluruh negara itu sejak Rabu, termasuk di bandar terbesar, Almaty.

Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan berkata sepasukan anggota pakatan tentera akan dihantar membantu ‘menyelesaikan’ masalah penunjuk perasaan itu di Kazakhstan.

Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) merangkumi Russia, Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, dan Tajikistan.

CSTO membuat keputusan menghantar pasukan pendamai bagi tempoh masa terhad, memandangkan ancaman terhadap keselamatan negara dan kedaulatan Republik Kazakhstan, kata Pashinyan

Lapan pegawai polis dan anggota pengawal negara terbunuh dalam rusuhan di wilayah berbeza di negara itu, menurut akhbar tempatan Kazakhstan Tengrinews.kz. Laporan juga menyebut 317 pegawai dan kakitangan cedera, memetik perkhidmatan akhbar Kementerian Dalam Negeri.

Sementara, lebih 10 penunjuk perasaan turut terbunuh setelah polis melepaskan tembakan ketika mereka cuba menceroboh pejabat kerajaan, terutama di Almaty.

“Di bandar Almaty, Shymkent dan Taraz, percubaan telah dibuat untuk menyerang pejabat pentadbiran tempatan] di mana tingkap, pintu dipecahkan dan kerosakan material lain telah berlaku,” kata satu kenyataan di laman web Kementerian Dalam Negeri.

“Batu, kayu, gas, lada, dan bom molotov telah digunakan oleh kumpulan itu,” kata kenyataan itu.

Presiden Tokayev berkata ‘pengganas’ telah menawan lapangan terbang Almaty, termasuk lima pesawat, dan sedang bertempur dengan tentera di luar bandar.

Tunjuk perasaan tercetus setelah kerajaan menarik balik kawalan harga ke atas gas petroleum cecair (LPG) pada awal tahun ini, lapor Reuters. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR