Tentera Pakistan menolak tuduhan bekas Perdana Menteri yang digulingkan Imran Khan kononnya Amerika Syarikat berkomplot untuk menjatuhkannya dalam undi tak percaya di Parlimen.
Khan, 69, yang memimpin negara Asia Selatan dengan 220 juta penduduk itu selama tiga setengah tahun sebelum ini menuduh Washington menjadi dalang penyingkirannya kerana lawatannya ke Moscow.
Untuk rekod, Washington juga sudah menafikan tuduhan itu.
Khan bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin pada 24 Februari, ketika tentera Rusia menyerang negara jiran Ukraine.
Khan pada mulanya menyekat usul tidak percaya itu dan mendakwa konspirasi tersebut juga disahkan Jawatankuasa Keselamatan Negara.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Babar Iftikhar bagaimanapun, menafikan dakwaan Jawatankuasa Keselamatan Negara itu.
“Anda boleh melihat dengan jelas sama ada terdapat sebarang perkataan konspirasi dalam kenyataan itu. Saya tidak fikir begitu,” katanya.