Taufan Rai badai Filipina, 100,000 penduduk dipindahkan

Taufan kuat membadai tenggara Filipina hari ini, menumbangkan pokok, mencabut bumbung rumah dan memutuskan bekalan elaktrik ketika ia melanda wilayah di mana hampir 100,000 penduduk telah dipindahkan.

Pengawal pantai menyelamatkan penduduk yang terkandas di perairan setinggi dada di wilayah selatan, di mana hujan lebat membanjiri kampung dan menggelamkan rumah.

Di selatan bandar Cagayan de Oro, rakaman video menunjukkan dua penyelamat bergelut untuk meletakkan bayi berusia sebulan di dalam besen dobi dan melindunginya daripada angin serta hujan hanya menggunakan payung.

Peramal cuaca berkata Taufan Rai semakin kuat dengan angin berkelajuan 195 kilometer sejam (kph) dan tiupan sehingga 270kph ketika ia bertiup dari Lautan Pasifik ke Kepulauan Siargao. Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan besar.

Pegawai tindak balas bencana berkata kira-kira 10,000 kampung terletak di laluan yang diunjurkan taufan itu, yang mempunyai jalur hujan selebar 400 kilometer dan merupakan antara yang paling kuat melanda Filipina tahun ini.

Pengawal pantai telah mengarahkan semua kapal tidak beroperasi, menyebabkan hampir 4,000 penumpang dan pekerja feri dan kargo terkandas di berpuluh-puluh pelabuhan. Kebanyakan penerbangan domestik juga telah dibatalkan dan sekolah serta pejabat ditutup di kawasan yang paling terdedah.

Lebih 98,000 orang telah dipindahkan ke tempat selamat, kata agensi tindak balas bencana kerajaan.

Kesesakan di pusat pemindahan merumitkan usaha untuk memastikan orang ramai mengekalkan penjarakan fizikal, terutama setelah pihak berkuasa kesihatan Filipina mengesan jangkitan pertama varian Covid-19 baharu, Omicron.

Program vaksinasi besar-besaran di kawasan terlibat dengan taufan itu dihentikan serta-merta.

Filipina adalah antara negara yang paling teruk dilanda wabak itu di Asia Tenggara, dengan jangkitan disahkan lebih daripada 2.8 juta dan lebih daripada 50,000 kematian.

Kuarantin dilonggarkan dan lebih banyak perniagaan dibenarkan dibuka semula dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas kempen vaksinasi diperhebat membantu mengurangkan jangkitan kepada beberapa ribu daripada lebih 26,000 pada September.

Sekurang-kurangnya 20 ribut dan taufan membadai Filipina setiap tahun. Kepulauan ini juga terletak di kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’ yang aktif secara seismik, menjadikannya salah satu negara paling terdedah kepada bencana. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR