
Orang ramai berjalan di hadapan Stesen JR Sendai pada pagi Selasa ketika Taufan Nanmadol menjadi lemah dan bergerak merentasi kepulauan Jepun ke Pasifik. - Gambar Kyodo
Taufan Nanmadol bertukar menjadi taufan ekstratropika pada pagi ini (20 September 2022) selepas ia bergerak merentasi kepulauan Jepun ke Pasifik setelah membadai barat daya negara itu dengan hujan lebat dan mencetuskan tanah runtuh, menyebabkan dua orang maut dan sekurang-kurangnya 115 cedera.
Ribut itu – salah satu yang paling kuat yang pernah dilihat Jepun apabila ia sampai ke Pulau Kyushu pada Ahad, membawa angin yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan hujan lebat – bergerak dengan tekanan atmosfera 985 hectopascals pada awal Selasa, tetapi masih membawa angin maksimum 126 kilometer sejam (kmj).
Di wilayah Miyazaki, seorang lelaki ditemui maut selepas kabin lereng gunungnya musnah dalam banjir lumpur, dan seorang lagi lelaki disahkan meninggal dunia selepas keretanya ditenggelami air di tanah ladang.
Seorang lelaki dilaporkan hilang di Hiroshima dan sekurang-kurangnya 115 orang cedera, menurut kerajaan wilayah dan agensi pengurusan bencana.
Lebih 100,000 rumah masih terputus bekalan elektrik pada Selasa, kata Kyushu Electric Power, sambil menambah bahawa ia berharap dapat memulihkan kuasa sepenuhnya menjelang Rabu.
Tanah runtuh dan jambatan roboh berlaku di kawasan pergunungan wilayah Miyazaki, manakala sebahagian daripada struktur Istana Hikone, yang diisytiharkan sebagai sumber budaya penting, di wilayah Shiga didapati rosak.
Agensi Meteorologi Jepun meramalkan angin sehingga 108kmj di timur laut Jepun dan ombak sehingga 7 meter di barat Jepun pada Selasa.
Taburan hujan sehingga 80 milimeter (mm) dijangka sepanjang 24 jam hingga tengah hari Rabu di tengah dan timur Jepun, termasuk Tokyo, dan 60mm di timur laut. – Agensi