Taliban tawan wilayah utama sempadan Afghanistan-Iran

Kumpulan pejuang Taliban menawan wilayah penting di barat Afghanistan, termasuk lintasan sempadan dengan Iran, kata pegawal keselamatan, tatkala gerakan bersenjata itu terus mara di seluruh negara.

Sejak seminggu lalu, kumpulan Taliban menggempur wilayah bersempadan dengan lima negara – Iran, Yajikistan, Turkmenistan, China dan Pakistan – ketika tentera asing mengakhiri campur tangan selama 20 tahun dengan keluar dari Afghanistan.

Pertempuran antara pejuang Taliban dan pasukan tentera Afghanistan juga sedang berlangsung di wilayah Balkh yang bersempadan dengan Uzbekistan.

Dua pegawai kanan keselamatan memberitahu agensi berita Reuters dengan syarat tidak disebutkan nama, bahawa lintasan Islam Qala di wilayah Herat di sempadan Afghanistan dengan Iran, jatuh ke tangan Taliban.

Perkhidmatan televisyen rasmi Iran berbahasa Arab, Al Alalam TV pula melaporkan bahawa tentera Afghanistan memasuki wilayah Iran melalui sempadan untuk melarikan diri daripada serangan bertali arus Taliban.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Tariq Arian menafikan laporan itu sambil mengatakan tentera Afghanistan masih mengawal lintasan sempadan dengan Iran.

Seorang lagi pegawai keselamatan memberitahu pejuang Taliban menawan wilayah Herat tanpa perlawanan.

Awal minggu ini lebih 1,000 anggota tentera Afghanistan melarikan diri ke Tajikistan selepas Taliban menawan kebanyakan kawasan di utara wilayah Badakhshan, bersempadan dengan China dan Pakistan.

Kementerian Pertahanan Afghanistan bagaimanapun berkata pasukan tentera berjaya menawan semula Qala-e-Naw bandar di timur wilayah Badhgis, yang digempur Taliban pada Rabu.

Ratusan anggota tentera telah dihantar ke wilayah itu. Pertempuran masih berlaku di Qala-e-Naw di mana Taliban sebelum ini menawan bangunan kerajaan di bandar itu termasuk ibu pejabat polis, kata kementerian itu.

“Bandar ini berada sepenuhnya di dalam kawalan kami dan kami sedang menjalankan operasi menentang Taliban di pinggir bandar,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Fawad Aman.

Katanya 69 pejuang Taliban terbunuh dalam operasi di Qala-e-Naw – bandar utama wilayah yang ditawan pejuang dalam serangan terakhir mereka.

Selebihnya wilayah Badghis berada dalam tangan Taliban, dengan pegawai keselamatan Barat menyatakan Taliban menawan lebih 100 daerah di Afghanistan.

Namun pejuang Taliban mendakwa mereka menawan lebih 200 daerah di 34 wilayah di separuh daripada Afghanistan. Bandar-bandar utama sahaja yang masih berada dalam kawalan kerajaan Afghanistan.

Pejuang Taliban meningkatkan serangan sejak beberapa minggu lalu ketika Amerika Syarikat (AS) mula mengosongkan pangkalan utama mereka di Afghanistan, sekali gus mengakhiri campur tangan sejak 2001 yang bertujuan menyingkirkan pemerintahan Taliban. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR