
Pasukan tentera Afghanistan di lokasi pertempuran dengan Taliban di wilayah Kunduz. - Gambar Reuters
Pejuang Taliban menawan lintasan utama pintu sempadan Afghanistan dengan Tajikistan, kata seorang pegawai tentera Kabul hari ini, tatkala beberapa pasukan keselamatan mula meninggalkan pos mereka di wilayah Kunduz.
Kejayaan menguasai Shir Khan di utara Afghanistan, sekitar 50 kilometer dari bandar Kunduz, amat bermakna buat Taliban sejak meningkatkan operasi pada 1 Mei lalu, ketika Amerika Syarikat (AS) melaksanakan peringkat akhir menarik keluar pasukan tentera mereka dari negara berkenaan.
“Pagi ini dan setelah satu jam pertempuran, Taliban menawan Shir Khan dan semua pos pemeriksaan sempadan dengan Tajikistan,” kata ahli majlis wilayah Kunduz, Khaliddin Hakmi.
Pegawai tentera memberitahu agensi berita AFP, mereka terpaksa meninggalkan pos kawalan masing-masing setelah menerima tentangan hebat pejuang Taliban dan sesetengah anggota tentera melarikan diri ke wilayah Tajikistan.
“Pada waktu pagi ratusan pejuang Taliban dilihat di mana-mana,” katanya.
Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengesahkan pasukan pejuang menawan lintasan utama di laluan memisahkan Sungai Pyanj.
“Pejuang Mujahidin menawan sepenuhnya bandar Shir Khan dan semua laluan pintu sempadan ke Tajikistan di Kunduz,” katanya.
Serangan ke atas Shir Khan dilakukan ketika utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pejuang Taliban kini menguasai 50 daripada 370 daerah di Afghanistan sejak Mei lalu.
“Daerah-daerah yang telah dikuasai itu terletak di sekitar ibu kota wilayah, sekali gus menunjukkan bahawa Taliban meletakkan kedudukan mereka untuk cuba menawan ibu kota itu setelah tentera asing berundur sepenuhnya,” kata Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Afghanistan, Deborah Lyons kepada Majlis Keselamatan PBB.
Pertempuran sengit antara pejuang Taliban dan tentera kerajaan Afghanistan meletus di pinggir tiga ibu kota wilayah di Faryab, Balkh dan Kunduz sejak kebelakangan ini. – Agensi