Taliban isytihar perang tamat, Presiden Afghanistan lari keluar negara

Taliban mengisytiharkan perang di Afghanistan tamat setelah pejuangnya berjaya menawan ibu negara, Kabul, sementara Presiden Ashraf Ghani melarikan diri ke luar negara.

Ketika pejuang Taliban memasuki jalan-jalan di Kabul hari ini, ribuan rakyat Afghanistan menyerbu Lapangan Terbang Kabul untuk melarikan diri daripada kumpulan Taliban yang diketahui umum mengenakan peraturan yang keras.

Menerusi klip video yang tular di media sosial, ramai rakyat Afghanistan dilihat memanjat pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) yang sedang bergerak untuk meninggalkan lapangan terbang itu.

Pegawai kanan tentera AS memberitahu dalam keadaan panik ketika pesawat hendak berlepas tujuh rakyat Afghanistan terbunuh, termasuk beberapa individu yang jatuh setelah pesawat itu berada di udara.

Ketika sidang khas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa Taliban usaha melindungi nyawa manusia dan membenarkan sesiapa sahaja yang hendak meninggalkan negara itu.

Sementara itu, beberapa negara turut membantu mengeluarkan rakyat mereka serta penduduk Afghanistan yang hendak meninggalkan negara itu menggunakan pesawat mereka.

Stesen penyiaran TRT Haber melaporkan Turki membawa keluar rakyatnya dan warga Kabul seramai 324 individu menggunakan penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul.

Uzbekistan pula melaporkan ratusan anggota tentera Afghanistan menyeberangi sempadannya sejak dua hari lalu.

Ratusan askar Afghanistan melarikan diri ke Uzbekistan menggunakan 22 pesawat tentera dan 24 helikopter, selain ada ratusan lagi yang berjalan kaki, kata pihak berkuasa Uzbekistan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR