Taliban dakwa tawan pintu lintasan utama sempadan Afghanistan-Pakistan

July 15, 2021 · Dunia

Kumpulan militan Taliban mendakwa mereka berjaya menawan lintasan sempadan yang strategik di Spin Boldak bersempadan dengan Pakistan, sambil terus meningkatkan gerakan sejak pasukan tentera asing mula berundur dari Afghanistan.

Kementerian Dalam Negeri Afghanistan dalam kenyataan hari ini bagaimanapun berkata serangan militan Taliban berjaya dipatahkan dan askar kerajaan terus menguasai kawasan itu.

Namun, Islamabad pula mengesahkan pasukan keselamatannya menutup pintu lintasan di bahagian Pakistan di wilayah Chaman-Spin Boldak.

“Kehadiran militan Taliban boleh dilihat di sempadan Afghanistan dan Pakistan di Chaman, dan tidak ada askar Afghanistan berada di situ,” kata pegawai tempatan Pakistan Arif Kakar.

Beliau mengesahkan Pakistan sekarang ini tidak membenarkan individu atau barangan dibawa masuk melintasi pintu lintasan Chaman-Spin Boldak – salah satu daripada dua lintasan utama bagi kedua-dua negara.

Klip video dirakam penduduk tempatan menunjukkan benderan kerajaan Afghanistan di pintu sempadan itu telah ditukar dengan bendera putih Taliban, yang merujuk negara itu sebagai ‘Emiriah Islam Afghanistan’.

Media sosial juga dibanjiri gambar-gambar pejuang Taliban yang kelihatan santai di kota yang kelihatan sebagai perbatasan Pakistan dan Afghanistan.

Penawanan Spin Boldak menjadi yang terbaharu dalam rangkaian pintu sempadan dan pelabuhan kering yang dirampas oleh Taliban dalam beberapa minggu terakhir.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid memberitahu kepada pedagang dan penduduk bahawa keselamatan mereka di wilayah itu adalah terjamin.

Namun, pegawai Afghanistan tetap menyatakan pasukan keselamatan negara itu mengawal kawasan berkenaan.

“Pengganas Taliban melakukan beberapa pergerakan berhampiran kawasan perbatasan … Pasukan keselamatan telah mematahkan serangan itu,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tareq Arian dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan itu mempertikaikan kenyataan berkenaan setelah melihat militan Taliban berkeliaran di kawasan mereka.

“Saya ke kedai pagi tadi dan melihat ramai militan Taliban. Mereka ada di bazar, di dalam ibu pejabat polis dan kastam. Saya juga boleh mendengar bunyi tembakan berhampiran,” kata peniaga Raz Mohammad yang membuka kedai berdekatan sempadan.

Dengan tentera Amerika Syarikat (AS) dijangka keluar sepenuhnya dari Afghanistan tidak lama lagi, kumpulan militan itu meningkatkan penguasaan di kawasan pinggir bandar yang dikuasai kerajaan.

Lintasan sempadan Spin Boldak menjadi kawasan strategik berharga buat Taliban. Ia menyediakan akses terus ke Balochistan di Pakistan, di mana kepemimpinan tertinggi kumpulan itu berpusat selama beberapa dekad lalu.

Beberapa jam selepas lintasan sempadan itu jatuh, wartawan AFP di bahagian Pakistan melihat kira-kira 150 anggota Taliban menaiki motosikal dan mengibarkan bendera mereka, dan meminta untuk memasuki Afghanistan.

Berita berkaitan
Muhyiddin gesa PMX jelaskan perjanjian dengan Indonesia, bimbang kedaulatan negara
June 11, 2023· Isu semasa
Penahanan Imran Khan tidak sah, kata Mahkamah Agung
May 12, 2023· Dunia
Pakistan berdarah, internet disekat susulan protes jalanan
May 11, 2023· Dunia
Seluruh Pakistan bantah penahanan Imran Khan, protes jalanan
May 10, 2023· Dunia
Popular
Masalah kebuluran global terus meningkat
November 8, 2021
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok