
Melbourne masih diletak di bawah perintah sekatan dan penutupan susulan penularan varian Delta di Victoria, Australia. - Gambar Reuters
Sydney sudah bersiap untuk menamatkan perintah sekatan dan penutupan, kata pegawai, dengan sektor perniagaan mula melakukan persiapan menerima kunjungan individu yang lengkap divaksin mulai esok.
New South Wales (NSW), negeri paling padat penduduk di Australia hari ini melaporkan 477 jangkitan baharu Covid-19 dan enam kematian, ketika penularan wabak itu menyebabkan kira-kira lima juga penduduk di Sydney ‘dikurung’ lebih 100 hari.
Namun, ketika negeri itu mencapai 70 peratus penduduk lengkap divaksin, NSW bersiap untuk menarik balik sekatan dan membuka kembali kebanyakan perniagaan, kata Ketua Menteri NSW Dominic Perrottet.
“Ia adalah hari penting bagi negeri ini dan setiap orang di seluruh NSW berhak memilikinya. Setelah 100 hari kita akan kembali beraksi semula esok,” katanya.
Ditanya apa perkara pertama yang akan dilakukannya esok apabila Sydney dibuka semula, Perrottet berkata: “Saya akan menggunting rambut”.
Media tempatan Australia melaporkan kedai gunting rambut dan salun telah penuh dengan tempahan untuk tempoh seminggu.
Walaupun akan dibuka semula mulai esok, sekatan penjarakan sosial dan had perhimpunan awam di Sydney akan dikekalkan untuk beberapa minggu akan datang.
Sementara itu, Victoria, negeri jiran NSW di mana Melbourne dikenakan perintah sekatan dan penutupan sejak awal Ogos lalu, hari ini melaporkan 1,890 kes baharu dan lima kematian.
Negeri itu menjangkakan akan menamatkan semua sekatan dan membuka kembali aktivitinya lewat bulan ini apabila 70 peratus penduduknya lengkap divaksin.
Keseluruhannya sebanyak 62 peratus daripada penduduk Australia berusia 16 tahun ke atas telah menerima dua dos vaksin Covid-19.
Perdana Menteri Scott Morrison berkata Australia akan membuka semula sempadannya yang ditutup sejak Mac 2020, apabila 80 peratus daripada penduduknya telah lengkap divaksin. – Agensi