Suspek tembak MH17 berkepentingan ketenteraan: Pendakwa Belanda

Pendakwa raya Belanda berkata empat suspek yang dituduh menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 dengan peluru berpandu darat ke udara, melakukannya demi kepentingan ketenteraan mereka sendiri.

Dalam hujah penutup perbicaraan di The Hague, pendakwa raya berkata empat suspek memainkan peranan penting dalam mengendalikan sistem peluru berpandu BUK, yang kemungkinan besar bertujuan untuk menyerang pesawat Ukraine.

Empat suspek sedang dibicarakan tanpa kehadiran kerana dituduh melancarkan peluru berpandu BUK yang mengenai penerbangan MH17 di ruang udara di timur Ukraine yang dilanda perang pada 2014, membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

“Jika ini adalah niat melakukannya, itu tidak mengubah tuduhan menjadikannya sebagai tindakan jenayah,” kata pendakwa raya Thijs Berger kepada hakim.

“Kesilapan dalam sasaran juga tidak memberi perbezaan kepada bukti bahawa jenayah seperti itu telah dilakukan.”

“Suspek menggunakan peluru berpandu BUK sebagai alat untuk kepentingan ketenteraan mereka sendiri dan mengenai MH17,” katanya lagi.

Penyiasat antarabangsa berkata peluru berpandu BUK pada asalnya dibawa dari pangkalan tentera Russia, kononnya untuk digunakan dalam memerangi tentera Ukraine.

Berger berkata lelaki yang dibicarakan ‘tidak menekan butang itu sendiri, tetapi… menggunakannya untuk perjuangan bersenjata mereka dengan tujuan untuk memusnahkan pesawat’.

Empat suspek yang dibicarakan itu termasuk tiga warga Russia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov, manakala seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko.

Keempat-empat mereka enggan hadir di mahkamah di Belanda dan sedang dibicarakan tanpa kehadiran.

Dalam tiga hari perbicaraan minggu ini, pihak pendakwaan secara rasmi mendakwa keempat-empat suspek dan akan menetapkan tuntutan hukuman terhadap mereka.

Keputusan di mahkamah yang diletakkan dalam kawalan keselamatan tahap tinggi, berhampiran lapangan terbang Schiphol di Amsterdam tempat MH17 berlepas dalam penerbangannya ke Kuala Lumpur, dijangkahanya dibuat paling awal lewat 2022.

“Hukuman maksimum ialah penjara seumur hidup,” kata jurucakap mahkamah kepada AFP.

Pendengaran kes itu menyusul ketegangan terbaharu di mana Barat menuduh Moscow merancang menyerang Russia.

Girkin, 49, juga dikenali dengan nama samarannya “Strelkov”, adalah suspek paling berprofil tinggi – bekas pengintip Russia dan individu yang membantu memulakan perang di Ukraine.

Dubinsky, 57, yang juga dikaitkan dengan perisikan Russia, didakwa berkhidmat sebagai ketua perisikan tentera pemisah, manakala Pulatov, 53, adalah bekas anggota pasukan khas Russia dan salah seorang timbalan Dubinsky, sementara Kharchenko, 48, didakwa mengetuai unit pemisah di timur Ukraine.

Hanya Pulatov satu-satunya suspek yang diwakili peguam.

Pendakwaan akan mengambil masa dua hari untuk mengemukakan dan menjelaskan mengenai bukti, termasuk panggilan telefon dan alat curi dengar elektronik, keadaan sekeliling peluru berpandu, dan defendan sendiri. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR