Suami isteri ‘penyebar super’ cetus kluster Omicron terbesar di Thailand

Kementerian Kesihatan Awam Thailand memberi amaran lonjakan kes Covid-19 berpotensi untuk meningkat semula setelah kluster pertama penularan tempatan varian Omicron atau dikenali sebagai ‘penyebar super’ dikesan di negara itu, lapor Bangkok Post.

Penularan tempatan itu dikesan menerusi pasangan suami isteri yang pulang ke wilayah Kalasin di timur laut Thailand dari Belgium pada 10 Disember lalu, yang positif varian Omicron.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr Opas Karnkawinpong berkata kluster itu sudah menjangkiti ratusan penduduk lain, dengan kes jangkitan sudah merebak ke 11 wilayah.

Katanya sejak pasangan itu pulang jangkitan Omicron telah dikesan di Kalasin, Udon Thani, Maha Sarakham, Khon Kaen, Roi Et, Nong Bua Lam Phu, Sakon Nakhon, Lamphun, Ubon Ratchathani, Phitsanulok, Lampang dan Phetchabun.

Kalasin sahaja merekodkan 248 kes daripada kluster, dengan 13 lagi di Khon Kaen, Roi Et (103) dan empat di Lamphun.

“Ini adalah kes penyebaran super kerana suami isteri itu menyebarkannya kepada ratusan yang lain,” kata Dr Opas.

Beliau berkata, pasangan yang dijangkiti itu turut mengunjungi beberapa tempat hiburan di Kalasin, serta gagal mematuhi langkah kawalan penyakit yang ketat.

“Kluster Kalasin adalah kluster terbesar di Thailand,” katanya.

Beliau berkata Thailand kini merekodkan 740 kes Omicron – 489 ketibaan dari luar negara dan 251 penularan tempatan – dan jangkitan varian baharu yang sangat mudah menular itu kini dikesan di 33 wilayah, dengan penularan tempatan di 19 daripadanya.

Kes Omicron meningkat secara mendadak sejak dua hari lalu dan membentuk lima hingga enam peratus daripada keseluruhan kes baharu Covid-19, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR