
Barisan panjang dilihat di luar stesen minyak pada Jumaat (17 Jun), dengan ramai pemandu berkata telah menunggu selama beberapa hari untuk mengisi tangki mereka. - Gambar NDTV
Colombo meminta bantuan syarikat minyak di negara pengeluar petroleum untuk menjual produk mereka kepada Sri Lanka, sekali gus membuka pasarannya bagi menyelesaikan kekurangan bahan api yang teruk ketika krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad.
Rizab pertukaran asing yang berkurangan menyebabkan negara dengan 22 juta penduduk itu tidak mampu membayar import barangan keperluan daripada bahan api kepada makanan dan ubat-ubatan.
“Sebuah iklan telah diterbitkan hari ini menggesa pernyataan minat (EOI) bagi syarikat minyak mengimport, mengedar dan menjual produk petroleum di Sri Lanka,” kata Menteri Tenaga Sri Lanka, Kanchana Wijesekera, di Twitter.
Berita itu menyusuli keputusan Sri Lanka bulan lalu untuk membenarkan import dan jualan sedemikian, kerana ia berebut untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi.
Kelulusan untuk firma minyak yang akan dipilih dalam proses baharu itu akan menamatkan duopoli pasaran (situasi di mana dua pembekal menguasai pasaran bagi sesuatu komoditi atau perkhidmatan) secara berkesan yang melibatkan anak syarikat Indian Oil Corp yang dikendalikan kerajaan India.
Ceylon Petroleum Corp (CPC) yang dikendalikan kerajaan, yang menguasai kira-kira 80 peratus pasaran dengan rangkaian 1,190 stesen minyak, akan memberikan bahagian sumber dan pamnya kepada syarikat baharu, kata kerajaan dalam notisnya.
Krisis ekonomi terburuk di Sri Lanka sejak merdeka daripada Britain pada 1948 berpunca daripada salah urus ekonomi dan pandemik Covid-19.
Penunjuk perasaan yang marah menggulingkan keluarga pemerintah Rajapaksa, membawa kerajaan baharu selepas memaksa peletakan jawatan presiden sebelumnya, Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke Singapura bulan ini.
Kumpulan hak asasi manusia telah meminta peguam negara Singapura untuk menyiasat Rajapaksa atas peranannya dalam perang saudara selama beberapa dekad di Sri Lanka.
“Sekarang Rajapaksa tidak lagi dilindungi oleh imuniti, Singapura mesti merebut peluang yang luar biasa ini,” kata Archana Ravichandradeva, daripada kumpulan People for Equality in Relief in Lanka.
Pergerakan itu adalah salah satu kumpulan yang menghantar surat bersama kepada pegawai Singapura, berikutan permintaan minggu lalu oleh kumpulan hak asasi lain yang meminta siasatan serupa.
Rajapaksa sebelum ini menafikan tuduhan bahawa dia bertanggungjawab terhadap pencabulan hak semasa perang.
Perang saudara 25 tahun di Sri Lanka antara pemberontak pemisah daripada etnik minoriti Tamil dan tentera kerajaan berakhir pada 2009. Kumpulan hak asasi manusia menuduh kedua-dua pihak melakukan penyeksaan semasa perang. – Reuters