Slovenia gantung vaksin J&J setelah gadis 20 tahun meninggal

Slovenia menggantung penggunaan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson (J&J), sementara siasatan terhadap kematian seorang wanita berusia 20 tahun dijalankan, tatkala ribuan penduduk berkumpul mengadakan bantahan terhadap vaksinasi itu.

Penggantungan itu dibuat sehingga pakar mengkaji sama ada kematian itu ada kaitan antara strok dan vaksin yang diterimanya dua minggu lebih awal, kata Menteri Kesihatan, Janez Poklukar, hari ini.

Suntikan dos tunggal vaksin Covid-19 menjadi popular dalam beberapa minggu terakhir di Slovenia setelah pihak berkuasa memperkenalkannya secara meluas, yang juga menjadi satu keperluan kepada kakitangan syarikat dikendalikan kerajaan.

J&J adalah vaksin dos tunggal yang diluluskan pengawal selia ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) pada Mac lalu, bagi melawan virus Covid-19.

Kerajaan negara itu membuat pembelian tambahan sebanyak 100,000 dos J&J dari Hungary susulan permintaan yang semakin meningkat.

Kematian wanita itu minggu ini adalah kes serius kedua melibatkan suntikan vaksin J&J yang telah diberikan kepada kira-kira 120,000 warganegara Slovenia, lapor agensi berita STA.

Bagaimanapun, faedah daripada suntikan vaksin itu melebihi daripada risiko, kata Poklukar.

Namun, pengumuman itu mendorong tunjuk perasaan pada Rabu yang dirancang di ibu kota, Ljubljana, terhadap vaksinasi dan langkah sekatan yang dikenakan bagi membendung penularan Covid-19.

Sebelum ini, demonstrasi serupa menarik ribuan penduduk dengan baru-baru ini penunjuk perasaan bertempur dengan polis. Menjelang perhimpunan hari ini, polis memasang pagar dan menggesa penunjuk perasaan bertenang.

Seperti negara-negara di Tengah dan Barat Eropah, Slovenia menyaksikan peningkatan jangkitan Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.

Negara yang mempunyai populasi kira-kira dua juga penduduk itu telah memberi suntikan vaksin kepada hampir 48 peratus rakyatnya, terendah berbanding negara lain di Eropah.

Slovenia menggunakan vaksin J&J terhadap rakyatnya yang berusia 18 tahun ke atas, di sebalik sesetengah negara yang menetapkan vaksin itu kepada individu lebih tua. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR