Situasi Covid di Indonesia lebih terkawal daripada negara jiran: Menteri

Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata pandemik Covid-19 di Indonesia secara relatifnya lebih terkawal berbanding negara-negara jiran yang lain

“Indonesia adalah antara negara yang secara relatifnya jauh lebih baik daripada negara lain, termasuk negara jiran kita (dari segi situasi Covid-19),” katanya dalam kenyataan akhbar sempena ‘Mesyuarat Terhad Penilaian Pelaksanaan Sekatan mengenai Aktiviti Kemasyarakatan (PPKM),’ di Jakarta pada Isnin.

Bagaimanapun, kerajaan akan terus berhati-hati dan memantau perkembangan global berhubung potensi varian baharu Covid-19, tambahnya.

“Kerajaan menyedari lonjakan kes yang tinggi sentiasa berpunca daripada kemunculan varian baharu. Oleh itu, kami sentiasa memantau varian baharu yang wujud,” katanya.

Peningkatan semasa dalam kes di Eropah dan China disebabkan oleh varian baharu, iaitu Omicron BA.2, kata menteri itu. Varian ini juga telah memasuki Indonesia dan telah menjadi varian yang dominan.

“Kami bertuah dengan keadaan imuniti rakyat Indonesia yang cukup baik sehingga varian baharu ini tidak menyebabkan lonjakan kes,” kata Sadikin.

Memandangkan keadaan yang cukup terkawal, kerajaan optimis rakyat akan dapat menjalankan aktiviti mereka dengan lebih bebas, tambahnya.

Berdasarkan tinjauan serologi penduduk Indonesia untuk virus SARS-CoV-2 yang dijalankan pada November–Disember 2021, 86.6 peratus penduduk Indonesia mempunyai antibodi terhadap Covid-19.

Ini bermakna 86.6 peratus penduduk Indonesia mempunyai imuniti terhadap Covid-19 pada bulan itu. Bagaimanapun, jumlah ini dijangka terus meningkat kerana kerajaan meneruskan program vaksinasinya, katanya.

Kerajaan telah membenarkan rakyat pulang ke kampung halaman mereka pada Aidilfitri tahun ini memandangkan keadaan kesihatan orang ramai yang sudah dilindungi secukupnya melalui vaksinasi, tambah menteri itu.

“Kerajaan berasa yakin kita boleh menjalankan aktiviti dengan lebih bebas,” katanya.

Polisi pulang hari raya itu atau dikenali ‘mudik lebaran’ adalah susulan kepada arahan Presiden Joko Widodo supaya orang ramai dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk menikmati Ramadan dan cuti Aidilfitri, katanya. – Antara

BERITA BERKAIT
POPULAR