Singapura wajibkan vaksin lengkap bagi pemegang pas jangka panjang

Mulai 1 November ini, pemegang pas jangka panjang harus lengkap divaksin sekiranya ingin memasuki Singapura sebagai prosedur untuk mencegah penularan Covid-19.

Peraturan itu bertujuan membolehkan pekerja sektor penting dan pelajar asing untuk menjalankan urusan mereka di Singapura tanpa menjejaskan risiko kesihatan awam di Republik tersebut.

Peraturan ini akan dilaksanakan kepada pemegang pas kerja dan tanggungan mereka, serta melibatkan individu yang masuk ke Singapura di bawah laluan pemegang pas pelajar.

Namun begitu, pemegang pas jangka panjang di bawah umur 18 tahun buat masa ini akan dikecualikan daripada peraturan itu ketika memasuki Republik ini.

Mereka yang berumur 12 ke 18 tahun wajib mengambil vaksin lengkap dalam masa dua bulan selepas tiba di Singapura.

Kementerian Kesihatan (MOH) semalam menetapkan peraturan baharu itu sebagai langkah mengemaskini kawalan sempadan antarabangsa negara itu.

Mulai Rabu ini, peraturan kemasukan ke sempadan sedia ada bagi pengunjung yang masuk ke Singapura akan dipendekkan dan diambil kira sejarah perjalanan terkini individu tersebut dari tempoh 14 hari sebelum dan bukannya 21 hari.

Menurut MOH, tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) bagi pengunjung tertentu akan dipendekkan dari 14 ke 10 hari, sejajar tempoh kuarantin bagi pesakit Covid-19 setempat, kerana tempoh inkubasi yang lebih singkat bagi varian Delta.

Ini bermaksud, bagi mereka yang melawat negara atau rantau Kategori III dan IV dalam tempoh 14 hari sebelum tiba di Singapura akan menjalani 10 hari SHN di kemudahan khusus disediakan.

Singapura mengasingkan negara dan rantau kepada empat kategori berlandaskan risiko jangkitan Covid-19 dengan kawalan sempadan dibezakan bagi setiap kategori.

Selain itu, mereka yang berkunjung ke negara atau rantau Kategori III dan sudah divaksin lengkap boleh memohon menjalani SHN di kediaman sendiri atau penginapan lain seperti hotel atau pangsapuri servis.

Manakala, pengunjung yang belum divaksin, wajib menjalani SHN di kemudahan khusus disediakan.

Sementara itu, pengunjung yang masuk ke Singapura di bawah Laluan Hubungan Kekeluargaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), keistimewaan akan diberikan kepada mereka sudah divaksin lengkap.

Pemilik pas yang layak secara perubatan untuk tidak menjalani vaksinasi boleh memohon pengecualian daripada ketetapan vaksinasi sebelum memohon masuk ke Singapura dan perlu disahkan dengan memo doktor.

Singapura semalam dalam tempoh 24 jam melaporkan 2,356 kes dan 4 kematian baharu akibat Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR