Singapura sediakan pusat rawatan Covid-19 ‘lima bintang’

Kemudahan rawatan Covid-19 ini mempunyai “pemandangan lima bintang” Marina Bay, dan disesuaikan dengan mengambil kira warga emas – daripada wad yang terang benderang kepada makanan yang tinggi serat dan rendah garam kepada tandas yang mempunyai pelapik anti tergelincir dan palang pemegang.

Setiap wad di Kemudahan Rawatan Covid-19 (CTF) mempunyai ruang umum di mana pesakit boleh makan, menonton televisyen dan menyertai aktiviti seperti permainan papan dan senaman ringkas bersama-sama.

Singapura telah menempatkan lebih 720 buah katil tambahan bagi merawat pesakit warga emas di CTF yang baharu di bangunan F1 dan akan mula menerima pesakit mulai Selasa ini.

Pusat CTF itu akan dikendalikan oleh Sistem Hospital Universiti Nasional (NUHS) bagi membantu meringankan beban hospital setempat.

Pusat itu dijangka beroperasi di bawah 50 peratus kapasiti sehingga akhir bulan ini sebelum kapasitinya ditingkatkan secara berperingkat.

Sejak dua tahun lalu, bangunan F1 Pit dibiarkan kosong dan tidak digunakan, susulan pembatalan perlumbaan Formula One.

Proses untuk menyiapkan CTF supaya lebih mesra pengguna kepada pesakit warga emas memerlukan tempoh dua minggu.

Penyediaan pusat CTF ini supaya menempatkan pesakit Covid-19 yang berumur lebih 70 tahun ke atas tetapi berada dalam keadaan stabil, berbanding menghantar mereka ke hospital.

Ia sangat bersesuaian bagi warga emas yang menghidapi penyakit kronik tetapi dalam keadaan stabil seperti kencing manis, darah tinggi atau mempunyai kadar kolestrol tinggi untuk memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

Selain itu, kakitangan perubatan juga akan diarahkan bekerja 24 jam sehari bagi memastikan keperluan perubatan dan sosial pesakit dipenuhi.

“Sejak dua bulan lalu, pihak kami sudah menubuhkan lebih 17 pusat CTF dengan khidmat sokongan hospital swasta dan menyediakan lebih 2,300 unit kapasiti katil untuk rawatan,” tulis Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung di laman Facebook.

“Pihak kami menjangkakan akan menambah lebih banyak kapasiti CTF, dengan anggaran sekitar 4,000 buah katil lagi menjelang akhir bulan ini,” tambahnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR