
Warganegara Britain berusia 42 tahun yang dijangkiti cacar monyet kini dirawat di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Singapura. - Gambar TODAY
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet dikesan di negara itu, yang pertama, dikesan pada 20 Jun lalu.
Pesakit adalah warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara.
MOH berkata lelaki itu berada di Singapura antara 15 Jun dan 17 Jun, dan sekali lagi pada 19 Jun ketika dia terbang masuk dan keluar dari Singapura.
Dia kini dimasukkan ke wad di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dan keadaannya stabil. Pengesanan kenalan sedang dijalankan, kata MOH.
Pesakit itu mengalami sakit kepala pada 14 Jun dan demam pada 16 Jun. Gejala-gejala ini kemudiannya hilang, dan dia kemudian mengalami ruam kulit pada 19 Jun.
MOH berkata lelaki itu mendapatkan rawatan perubatan melalui telekonsultasi pada malam 19 Jun, dan telah dihantar kepada NCID pada 20 Jun untuk penilaian lanjut.
“Pengesanan kenalan dan kontak rapat sedang dijalankan untuk penerbangan yang terjejas dan sepanjang tempoh tinggalnya di Singapura. Dalam tempoh ini, dia sebahagian besarnya tinggal di bilik hotelnya, kecuali melawat pusat urut, dan makan di tiga kedai pada 16 Jun.
“Secara amnya, risiko penularan kepada pelawat di lokasi ini adalah rendah, kerana data telah menunjukkan bahawa cacar monyet berjangkit melalui sentuhan fizikal yang rapat atau berpanjangan.
“Keempat-empat lokasi yang dilawati pesakit itu sedang menjalani pembersihan dan pembasmian kuman,” kata KKM sambil menjelaskan sehingga 21 Jun seramai 13 kontak rapat lelaki itu telah dikenal pasti.
MOH berkata, semua kontak rapat akan dikuarantin selama 21 hari sejak hubungan terakhir mereka dengan kes itu.
“Selain itu, dua kenalan berisiko rendah telah diletakkan dalam pengawasan menerusi talian. Individu di bawah pengawasan talian akan menerima panggilan telefon setiap hari dalam tempoh 21 hari untuk memantau sebarang permulaan simptom.
“Jika disyaki dijangkiti, mereka akan segera dihantar ke NCID untuk penilaian lanjut dan pengasingan bagi mengelak penularan selanjutnya,” tambah kementerian itu.
Cacar monyet adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus.
Individu yang dijangkiti biasanya akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, bengkak kelenjar getah bening, menggigil, lesu dan ruam kulit.
“Penyakit ini biasanya sembuh sendiri, dengan kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Dalam sesetengah kes, bagaimanapun, virus itu boleh menyebabkan komplikasi yang serius.
“Individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit yang teruk termasuk kanak-kanak kecil, wanita hamil atau mereka yang lemah imun,” kata MOH.
MOH menambah bahawa penularan dari manusia ke manusia biasanya jarang berlaku, tetapi boleh berlaku melalui pendedahan kepada titisan pernafasan atau sentuhan fizikal secara langsung dengan darah, cecair badan atau bahan luka daripada individu yang dijangkiti atau bahan tercemar.
Tempoh inkubasi adalah antara lima hingga 21 hari. Mereka yang dijangkiti biasanya berjangkit dari awal demam sehingga kulit telah berkudis.
Memandangkan situasi global yang semakin berkembang, MOH menasihatkan orang ramai, terutama pengembara, supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikut:
- Kekalkan standard kebersihan diri yang tinggi, termasuk kerap mencuci tangan selepas ke tandas, atau apabila tangan kotor;
- Elakkan sentuhan langsung dengan luka kulit orang atau haiwan yang hidup atau mati yang dijangkiti, serta objek yang mungkin telah tercemar dengan cecair berjangkit, seperti pakaian kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti;
- Elakkan sentuhan dengan haiwan liar yang boleh menampung virus, dan pengambilan daging hutan; dan
- Dapatkan rawatan perubatan segera jika mengalami sebarang gejala penyakit yang serasi dengan cacar monyet. Gejala-gejala tersebut termasuk demam tinggi yang tiba-tiba, nodus limfa bengkak dan ruam. Individu ini harus memaklumkan kepada doktor tentang sejarah perjalanan mereka baru-baru ini, jika ada. – Agensi