Singapura rekod peningkatan kes Covid-19

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Singapura dalam tempoh 24 jam semalam meningkat kepada 3,445 kes berbanding 2,932 yang dilaporkan pada Khamis, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Pada masa sama, MOH turut melaporkan lapan lagi kematian membabitkan individu berusia antara 61 dan 89 akibat jangkitan Covid-19.

Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 2,823 kes membabitkan penularan dalam komuniti, 620 melibatkan pekerja asing dan dua kes import, lapor MOH.

Kes tempatan itu termasuk 572 individu berusia 60 tahun ke atas.

Daripada beberapa kluster besar yang diletakkan dalam pemantauan MOH, tiga melaporkan kes baharu. Sebelas kes baharu melibatkan Pusat Perubatan Econ Medicare dan rumah jagaan di Buangkok.

Keseluruhannya, Singapura merekodkan 141,772 kes positif Covid-19 sejak awal tahun lalu hingga semalam.

Sementara itu, jumlah kematian meningkat kepada 215 kes, susulan lapan lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam.

Tujuh daripadanya adalah lelaki san seorang wanita. Semuanya rakyat Singapura. Tiga melengkapkan vaksinasi manakala lima lagi tidak divaksin, kata MOH. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR