
Individu berumur 70 tahun ke atas menunggu di kawasan pemerhatian setelah menerima suntikan di pusat vaksinasi di Singapura. - Gambar Reuters
Jangkitan Covid-19 di Singapura kembali meningkat melebihi paras 2,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu, selain lapan lagi kematian turut direkodkan.
Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan, daripada 2,268 kes baharu yang direkodkan dalam tempoh itu, 1,810 kes melibatkan jangkitan dalam komuniti, 448 di asrama pekerja asing dan 10 kes import.
Melalui data terbaharu kementerian itu, 1,335 kes sedang menerima rawatan di hospital, manakala 197 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen dan 34 kes kritikal kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Sejak 28 hari lalu, terdapat 26,088 individu yang dijangkiti, di mana 98.1 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.6 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU dan 0.1 peratus melibatkan kematian.
Jelas kementerian lagi, lapan kematian yang direkodkan membabitkan warga emas Singapura dengan enam daripadanya tidak menerima vaksin Covid-19.
Secara keseluruhan, angka kematian akibat komplikasi Covid-19 di Singapura setakat ini adalah 93 orang.
Sehingga kini, Singapura sudah memberikan hampir 9.1 juta dos vaksin Pfizer dan Moderna di bawah program vaksinasi kebangsaan termasuk 196,211 dos penggalak.
Sebanyak 195,791 dos vaksin jenama lain yang diluluskan untuk penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah diberikan, melibatkan lebih 98,772 individu.
Sehingga semalam, angka kes direkodkan di Singapura adalah sebanyak 94,043 kes dengan 16,643 kes aktif. – Agensi