Singapura perketat semula peraturan kemasukan pengembara asing

December 1, 2021 · Dunia

Kelonggaran peraturan sosial akan dihentikan seketika, dan pelancong yang memasuki Singapura berdepan peraturan lebih ketat mulai jam 11.59 malam Khamis (2 Disember), di tengah-tengah penularan varian baharu Omicron Covid-19 di seluruh dunia.

Langkah itu dibuat ketika kerajaan republik itu berusaha menilai implikasi varian baharu Covid-19 yang telah merebak ke sekurang-kurangnya 16 negara.

Sehingga kini tiada jangkitan Omicron dikesan membabitkan penularan dalam komuniti tempatan Singapura, walaupun terdapat kontak rapat yang kini menjalani kuarantin di pusat khas.

Terdahulu, MOH mengesahkan dua pengembara dari Afrika Selatan yang transit di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Australia disahkan positif varian Omicron.

Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) mengesahkan bahawa kedua-dua pengembara yang tiba di Sydney dari Afrika Selatan dengan penerbangan Singapore Airlines SQ211 pada 28 November lalu disahkan positif Omicron.

MOH berkata enam daripada tujuh penumpang daripada penerbangan itu yang kini berada di Singapura dikenakan Notis Duduk Rumah (SHN) 10 hari di kemudahan khas.

Singapura baru sahaja pulih daripada fasa penstabilan dan telah melonggarkan langkah sosial, seperti membenarkan lebih ramai individu untuk makan bersama di restoran dan pusat penjaja serta meningkatkan jumlah individu untuk berkumpul.

Walaupun langkah semasa tidak akan disambung semula buat masa ini, pasukan petugas pelbagai kementerian yang mengendalikan Covid-19 berkata ia akan menangguhkan kelonggaran selanjutnya.

Kementerian itu berkata mana-mana individu di Singapura yang disahkan dijangkiti varian Omicron tidak dibenar menjalani kuarantin di rumah, sebaliknya akan ditempatkan di Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

MOH juga berkata mulai 11.59 Khamis ini negara itu akan mula mengetatkan semula peraturan di pintu masuknya.

Pertama, pengembara udara yang tiba melalui skim Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) tanpa kuarantin perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) yang diselia dan ditadbir di Pusat Ujian Pantas pada hari ketiga dan hari ketujuh ketibaan mereka.

Pada masa ini, pengembara skim VTL dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin, dan hanya perlu menjalani ujian swab sebelum berlepas ke Singapura, dan selepas tiba di negara itu.

Kedua, semua pengembara udara yang masuk atau transit melalui Singapura mesti diuji negatif dalam ujian pra-berlepas dua hari setelah berlepas ke Singapura, dan ketiga semua pengembara mesti menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) Covid-19 semasa ketibaan.

MOH juga berkata untuk tujuan pengawasan, pelancong yang tiba di Singapura antara 12 dan 27 November lalu, dan pernah ke negara atau wilayah yang terjejas oleh Omicron dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan mereka, perlu menjalani sekali ujian PCR.

Sekatan dan peraturan yang diperketatkan itu akan dilaksanakan selama empat minggu. Ia akan disemak atau dilanjutkan jika perlu, kata MOH. – ST

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Selepas kalah PRU, PM Thailand janji akan berundur secara baik
May 16, 2023
Indonesia lulus Sinovac untuk kanak-kanak seawal usia 6 tahun
November 1, 2021
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok