Singapura perketat kemasukan rakyat Indonesia

Singapura memperketatkan kemasukan rakyat Indonesia bermula 13 Julai ini bagi mengekang penyebaran varian Delta Covod-19. - Gambar fail AFP

Singapura memperketatkan langkah keselamatan di sempadan negaranya ke atas keluar masuk rakyat Indonesia berkuat kuasa serta-merta, kata Kementerian Kesihatan negara itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata kelulusan kemasukan bagi warganegara Indonesia ke Singapura akan dipertimbangkan dan langkah pengurusan keselamatan tambahan akan dilaksanakan bagi mengawal penyebaran varian Delta Covid-19.

Mulai 13 Julai, Kementerian Kesihatan memaklumkan semua pengunjung yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dalam tempoh 21 hari tidak dibenarkan transit di Singapura.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dalam tempoh 21 hari dan ingin memasuki Singapura, mereka perlulah melakukan ujian saringan polymerase chain reaction (PCR) Covid-19 yang diambil dalam masa 72 jam sebelum berlepas ke Singapura dengan hasil ujian negatif.

Namun, Kerajaan Singapura sudah meminda semula syarat kemasukan tersebut, bagi pengunjung dari Indonesia yang ingin ke Singapura di mana mereka perlu menunjukkan hasil ujian PCR negatif Covid-19 yang sah dan mestilah dilakukan dalam tempoh 48 jam sebelum memulakan perjalanan ke Singapura bermula 13 Julai ini.

Kementerian memaklumkan kepada pengunjung yang tiba di Singapura tanpa keputusan ujian PCR negatif yang sah kemungkinan tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura.

Katanya, bagi penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tidak mematuhi syarat baharu itu, permit atau pas mereka akan ditarik balik dan dibatalkan.

Pengunjung yang tiba di Singapura dengan hasil ujian PCR negatif juga masih tertakluk kepada Notis Tinggal di Rumah (SHN) selama 14 hari di kemudahan khas SHN yang disediakan dan perlu melakukan ujian saringan PCR semasa hari ketibaan dan pada hari ke 14 kuarantin.

Selain itu, ujian Antigen Rapid Test (ART) kendiri juga perlu dilakukan pada hari ketiga, ketujuh dan hari ke 11 selepas ketibaan.

Indonesia hari ini telah mencatatkan 35,094 kes jangkitan Covid-19 dan 826 kes kematian, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di Republik ini sudah melebihi 2.49 juta dan 65,457 kes kematian telah direkodkan.

Semalam, pihak berkuasa Indonesia dalam usaha memperluas sekatan sempadan negeri di 15 lokasi baru di seluruh Nusantara itu bagi mengelakkan terjadinya krisis yang sama seperti di Pulau Jawa, dimana hospital sudah penuh, bekalan oksigen tidak mencukupi dan kawasan perkuburan di Jakarta untuk pesakit Covid-19 juga sudah hampir penuh. – Agensi

POPULAR