Singapura lepasi sejuta kes, 7,951 jangkitan baharu di Indonesia

Singapura pada Sabtu (19 Mac 2022) mencatat kumulatif positif Covid-19 melepasi paras satu juta kes, dengan Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu melaporkan 10,244 jangkitan baharu.

Secara keseluruhan, 10,102 daripada jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat tengah hari Sabtu adalah melibatkan penularan tempatan manakala 142 kes import.

Terdapat tiga kematian dilaporkan pada Sabtu, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 1,194.

Sehingga semalam, 1,130 pesakit masih dirawat di hospital, menurut statistik jangkitan terkini di laman web MOH. Seramai 127 pesakit memerlukan bantuan oksigen.

Seramai 27 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, berbanding 30 pada Jumaat.

Kebanyakan jangkitan baharu Covid-19 di Singapura adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai keadaan ringan.

Sehingga kini, Singapura telah merekodkan 1,007,158 kes positif Covid-19 sejak permulaan wabak itu.

Sementara itu, Indonesia pula melaporkan sebanyak 7,951 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 5,956,561, dengan 5,573,228 pesakit telah pulih.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) memaklumkan dalam tempoh itu juga seramai 188 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 153,599 kes. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR