Singapura lapor 13,520 kes baharu Covid-19, enam kematian

Singapura pada Isnin (7 Mac 2022) melaporkan 13,520 jangkitan baharu Covid-19, meningkat sedikit berbanding 13,158 kes yang dicatat pada Ahad.

Daripada jumlah itu 13,371 kes melibatkan jangkitan tempatan dan 149 lagi kes import, menurut statistik Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) yang dikeluarkan tengah malam ini.

Enam pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh itu, menjadikan jumlah kematian kepada 1,084 kes.

Sejak awal 2020 lalu hingga Isnin, Singapura merekodkan kumulatif positif sebanyak 846,341 kes.

Terdapat 1,477 pesakit di hospital, menurut statistik jangkitan terkini di laman web MOH dengan seramai 198 pesakit memerlukan bantuan oksigen.

Lima puluh empat pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, berbanding 47 pada Ahad.

Kebanyakan jangkitan baharu Covid-19 adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai gejala ringan.

Daripada kes yang dilaporkan pada Isnin, 10,942 diklasifikasikan di bawah Protokol 2, terdiri daripada 10,855 kes tempatan dan 87 kes import.

Sebanyak 2,578 lagi kes disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dengan 62 daripadanya adalah jangkitan import.

Kadar kebolehjangkitan mingguan ialah 0.95, sama seperti pada hari Ahad. Angka di bawah 1 menunjukkan bahawa bilangan kes Covid-19 mingguan baharu semakin menurun. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR