Singapura lanjutkan sekatan sehingga 21 November

Singapura memutuskan untuk memanjangkan sekatan Covid-19 sehingga 21 November depan, setelah mendapati sistem kesihatan di negara itu berisiko terbeban dengan jangkitan baharu.

Lebih 90 peratus daripada 1,650 katil pengasingan sudah dipenuhi pesakit, manakala dua pertiga daripada 200 bilik di unit rawatan rapi (ICU) sudah digunakan.

Keadaan ini meletakkan hospital dalam tekanan, kata Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung.

Katanya, MOH sedang berusaha memastikan sistem kesihatan di hospital tidak terjejas, termasuk menambah tenaga kerja, namun ia akan mengambil masa.

Langkah melanjutkan tempoh sekatan dan protokol Covid-19, termasuk mengehadkan jumlah berkumpul kepada dua individu sahaja, akan disemak semula dalam tempoh dua minggu berdasarkan situasi di dalam komuniti.

Ini tidak bermakna semua peraturan itu akan kekal sepanjang bulan ini, kata MOH.

Sekarang ini terdapat 207 katil di ICU dan 71 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Terdapat 75 pesakit yang tidak memerlukan alat bantuan pernafasan ditempatkan di ICU kerana memerlukan rawatan dan perhatian rapi.

“Kita boleh membuka katil baharu, tetapi ia memerlukan kos,” kata Ye Kung sambil menjelaskan kerajaan republik itu bekerjasama dengan hospital swasta bagi memastikan katil ICU mencukupi.

Semalam, negara itu melaporkan dalam tempoh 24 jam 3,862 jangkitan baharu Covid-19 dengan 3,221 kes melibatkan komuniti, 630 pekerja asing dan 11 kes import, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 158,587 kes.

Singapura juga melaporkan 18 pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam, jumlah tertinggi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam. Jumlah tertinggi kematian sebelum ini sebanyakn 15 kes yang dicatat pada 14 Oktober lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR